Annuar bidas Kadir sentuh Institusi Raja dan Perlembagaan babitkan isu 1MDB

Oleh MALAYSIADATELINE

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa (gambar kanan)  hari ini melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan dikeluarkan oleh Datuk A Kadir Jasin yang menyarankan agar institusi Raja-raja dikajisemula susulan dakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak diambil tindakan sewajarnya terhadap aduan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Annuar berkata, kenyataan dibuat oleh Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan PH itu, satu isyarat dan amaran kepada Raja Raja Melayu apabila beliau secara terang terangan membangkitkan isu kontrak sosial antara raja dan rakyat.

‘Apakah ini satu isyarat bahawa pentadbiran baru sedang bergerak ke arah reformasi institusi raja dan cuba meminda perlembagaan seeprti pernah dilakukan pada awal 90an yang telah menyeret kita semua dalam pertembungan Raja dan rakyat?

“Dari tulisan Ketua Media dan Komunikasi MPK PH ini ia sangat jelas sekali lagi, bagi saya ia bersifat ugutan dan hasutan.DKJ sepatutnya menghormati penjelasan yang telah di buat oleh Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja Raja Melayu yang telahpun mengeluarkan kenyataan bersabit isu yg di bangkikan pihak tertentu (SPRM),yang disentuh beliau.

“Apakah ini suara DKJ?atau suara MPK-PH?atau suara orang berkuasa yang lain?.Apakah DKJ merasakan beliau kebal dan di lindungi untuk mengeluarkan kenyataan sebegini?,” soalnya dalam tulisannya di facebook.

Beliau dipercayai mengulas satu artikel di Sinar Harian semalam, Kadir merujuk kepada sidang media Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull 22 Mei, yang mendakwa SPRM hampa dalam usaha mendapatkan campur tangan Majlis Raja-raja.

Shukri mendedahkan pihaknya menemui Majlis Raja-raja 2 kali untuk memaklumkan siasatan berkaitan 1MDB dan anak syarikat, SRC International, yang dikaitkan dengan perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Mohd  Najib Razak.

Kadir dipetik berkata, dalam konteks lebih luas, mungkin baik menilai semula tindak balas Raja-raja terhadap skandal itu, dan hal lain yang melibatkan institusi Raja “kerana negara kini ditadbir oleh kerajaan baru”, dan menambah, “kerajaan mungkin dituduh gagal menjalankan tugas kalau institusi Raja berperlembagaan tidak dikaji dan difahami.”

Justeru Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh itu, berpandangan, bahawa rakyat,terutamanya orang Melayu tidak akan membiarkan peristiwa 90an berulang.Kita juga berharap Kerajaan jangan cuba berketerlaluan dalam tindak tanduk mereka,terutama dalam percubaan yang boleh disifatkan menggugat kedudukan Raja-Raja Melayu, Agama Islam dan paling penting Pelembagaan negara.

“Sepatutnya DKJ dan MPK-PH menumpukan usaha untuk menunaikan segala janji 100 hari pertama yang belum ditunaikan.

“Rakyat sedang menunggu dengan sabar pengapusan cukai GST (bukan zero-rated),penghapusan tol penstabilan harga minya pada kadar RM1.50 pendidikan percuma, penurunan harga barang dan lain-lain.

“Bukannya ugutan terhadap institusi Raja atau percubaan meminda perlembagaan.

“Saya harap pihak berwajib tidak akan merasa takut untuk bersikap adil menjalankan siasatan ke atas DKJdan berharap keluhuran undang-undang daatg dipertahankan.

“Saya juga berharap DKJ berlapang dada dengan catitan saya ini.Sebagai seorang yang telah melalui episod awal 90an,saya tidak akan membiarkan peristiwa tersebut berulang lagi semata mata kerana dendam peribadi,” ujarnya.