Anthony Loke komited bantu rakyat, kali ini buat lawatan di KLIA 2 pula

Oleh KIM SYAZIE

Demi memastikan masyarakat mendapat kemudahan yang selesa, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook hari ini sekali lagi melakukan tinjauan mengejut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Menerusi catatan di Facebook rasminya hari ini, Loke berkata tujuan beliau membuat pemeriksaan mengejut adalah untuk melihat keadaan di hab pengangkutan awam di Aras 1, KLIA2 selepas mendapat maklum balas daripada orang ramai.

Susulan ‘spot check’ itu, beliau mendapati terdapat beberapa kelemahan terutamanya di ruang menunggu e-hailing yang dilihat perlu diperbaiki.

“Salah satunya ialah lorong jalan yang tidak rata akibat mendapan tanah yang boleh membahayakan pengguna. Pihak pengurusan telah melantik kontaktor dan kerja menaiktaraf akan dijalankan pada hujung bulan Januari.

“Sistem pencahayaan juga akan ditambah baik supaya keadaan pada waktu malam lebih terang.
Saya mengajak semua stake holders untuk sentiasa berusaha menambah baik kemudahan dan menceriakan pengalaman pengguna di lapangan terbang kita,” katanya.

Gambar tinjauan Anthony

Terdahulu, Loke memaklumkan lawatan mengejut itu dilakukan sebelum beliau melancarkan ‘Fixed fare midnight flights’ bertempat di Red Q, AirAsia.

Rata-rata pengguna media sosial memuji tindakan Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban itu dalam usaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.

“Memang tepat YB Anthony Loke Siew Fook dilantik Menteri Pengangkutan.. sentiasa turun site (padang) meninjau sistem pengangkutan Malaysia.. memang terbaik YB!”

“YB paling efficient setakat ini. Laju buat kerja. Tak banyak bunyi tapi semua jalan.”

“Hanya dalam satu bulan, beliau telah mengenal pasti dan menyelesaikan banyak perkara. Alhamdulillah. Terima kasih tuan!,” kata netizen.

Untuk rekod, pada hari pertama menggalas tugas sebagai Menteri Pengangkutan, Loke telah memulakan tinjauan mengejut bagi menilai situasi sebenar perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya.

Seminggu kemudian, beliau sekali lagi membuat lawatan mengejut untuk melihat sendiri tahap perkhidmatan KTM Komuter dan juga keadaan di hab pengangkutan awam di Terminal Bersepadu Selatan (TBS).