Setiap orang pasti ada tarikh penting untuk diingati. Tidak kiralah tarikh bahagia atau derita, pastinya ia menjadi titik tolah perubahan besar dalam hidup seseorang.
Bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tarikh 20 September cukup diingatinya sehingga hari ini.
Semasa berucap dalam majlis sambutan Ulang Tahun Ke-140 HSBC di sebuah hotel di sini pada bulan yang lalu, nada Perdana Menteri dapat didengari berubah serta-merta selain raut wajahnya kelihatan sedikit sugul apabila bercakap soal tarikh ini.
Katanya, 20 September adalah tarikh yang memberi banyak peristiwa pahit bukan saja kepada dirinya tetapi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta seluruh keluarga.
“20 September itu hari yang susah bagi saya, Azizah dan keluarga apabila saya ditangkap dan dipenjara.
“Tapi itu adalah sejarah. Kesusahan saya dalam penjara selama lebih 10 tahun memberikan saya kematangan dan mampu tersenyum.
“Tapi yang penting sekarang adalah tidak memikirkan masa lalu. Kita ada misi untuk memastikan ekonomi negara berkembang dan menjadi jaguh ASEAN. Itu adalah tanggungjawab kepimpinan sedia ada,” katanya.
Seiring dengan komitmen menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun hadapan, Anwar berkata Malaysia mahu wilayah itu berkongsi visi untuk memberi tumpuan kepada ekonomi, pelaburan perdagangan dan kerjasama antara negara jiran untuk memastikan rantau ini kekal pesat.
“Persediaan Malaysia untuk mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN datang pada masa yang penting bagi pertumbuhan dan peluang.
“Kita akan memikul tanggungjawab besar untuk menilai semula Visi Komuniti ASEAN 2025 dan menetapkan aspirasi untuk 10 tahun akan datang,” katanya.
baca: Pelancong dari UK ‘culture shock’ pertama kali tengok budaya lepak di Malaysia