
Mesyuarat kedua penggal pertama Parlimen yang bermula hari ini bakal mencatat sejarah dengan kembalinya Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Dewan Rakyat.
Ketua Umum PKR yang baharu sahaja memenangi kerusi Parlimen Port Dickson dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kelmarin akan mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen selepas 20 tahun meninggalkan Dewan Rakyat.
Percubaan Anwar di P132 itu menjadi apabila mengaut majoriti 23,560 undi meninggalkan enam pencabar dengan meraih sokongan semua kaum termaasuk dua Dewan Undangan Negeri (Dun) majoriti pengundi Melayu pro BN sebelum ini iaitu Bagan Pinang dan Linggi.
Walaupun peratusan keluar mengundi agak rendah iaitu 58.25 peratus, Anwar memenangi majoriti lebih tinggi berbanding 17,710 undi yang diperoleh Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Urusan mesyuarat Dewan Rakyat kemudiannya akan berlangsung dengan sesi pertanyaan jawab lisan antara Ahli Parlimen dengan jemaah Kabinet sehingga pukul 11.30 pagi.
Sesi Kedua Penggal Pertama Dewan Rakyat ke-14 berlangsung selama 30 hari mulai hari ini sehingga 11 Disember depan.
Bermula mesyuarat kali ini, BN merosot kepada 51 kerusi selepas tiga Ahli Parlimen dari Umno bertindak keluar parti.
Sementara itu, jumlah kerusi parti lain tidak berubah dengan PKR menguasai 50 kerusi, DAP (42), Bersatu (13), AMANAH (11), Gabungan Parti Sarawak (19), Pas (18) manakala parti-parti tempatan Sabah iaitu UPKO, PBS, PBRS dan Star masing-masing mempunyai satu kerusi Parlimen.
Usul untuk pemansuhan Akta Hasutan dan undang-undang yang mengenakan hukuman mati mandatori dijangka menjadi antara agenda utama perbahasan mesyuarat kali ini.
Perdana Menteri pula dijadual membentangkan laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (KSP RMKe-11) pada Rabu ini.
Sidang Dewan Rakyat kali ini juga akan menyaksikan pembentangan sulung Belanjawan 2019 oleh Pakatan Harapan (PH) pada 2 November depan.