Selepas bersiapsedia empat dekad, kini Anwar laju di depan

Oleh MALAYSIADATELINE

Oleh ZULKIFLI SULONG

Ketika berforum di World Economic Forum di Davos, Switzerland baru-baru ini, pengasas Grameen Bank, Bangladesh yang menjadi pelopor pemberi pinjaman kecil (mikro kredit) negara itu, Profesor M. Yunus menyebut tentang Anwar Ibrahim.

Menurut Prof Yunus yang mendapat anugerah Nobel kerana projek Grameen Bank di Bangladesh, Anwar adalah antara pihak yang menghubungi beliau untuk membuat projek yang sama di Malaysia.

Anwar berbuat demikian untuk projek Amanah Ikhtiar Malaysia yang juga memberikan pinjaman kecil untuk usahawan kecil di negara ini.

Muhammad Yunus dipilih untuk memimpin pemerintahan sementara Bangladesh, selepas mantan Perdana Menteri Sheikh Hasina, yang sudah lama memerintah negara itu, meletak jawatan dan melarikan diri.

Sebelum itu, Sheikh Hasina berdepan pemberontakan terhadap pemerintahannya.

Dikenali sebagai “jurubank kepada golongan paling miskin” dan pengkritik Sheikh Hasina yang digulingkan, Prof Yunus menjalankan tangunggjawab sebagai perdana menteri sementara sehingga pilihan raya baharu diadakan.

Pemenang Hadiah Nobel itu mengetuai pemerintah sementara Bangladesh telah menyifatkan peletakan jawatan Cik Hasina sebagai “hari kemerdekaan kedua” negara itu.

Sebagai seorang pakar ekonomi dan jurubank, Encik Yunus dianugerahkan Hadiah Nobel pada 2006 kerana menggunakan kredit mikro untuk membantu golongan miskin, khususnya wanita.

Bagi Pengarah Eksekutif, IDE Research Centre, Amidi bin Abdul Manan, kenyataan yang dikeluarkan oleh Prof. Mohamad Yunus di World Economic Forum, Davos, Switzerland itu merupakan satu bukti hidup betapa komitednya Anwar dalam mengangkat martabat kumpulan rentan miskin di negara ini, Malaysia.

Lebih awal dari itu lagi, pada tahun 1974, Anwar selaku pemimpin mahasiswa bergerak ke Baling, berdemonstrasi membela nasib pekebun kecil getah yang miskin, terhimpit kerana kejatuhan harga getah ketika itu.

Anwar Ibrahim, ketika menjadi Menteri Pendidikan pada tahun 1987, telah mengarahkan USM (pada ketika itu IPTA berada di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia – KPM) untuk melakukan kajian berkaitan kesesuaian konsep Bank Grameen ini.

Kajian ini diketuai oleh Prof. Dr. Shukor Kassim dan Dr. Gibbon yang akhirnya membawa kepada penubuhan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Kata Amidi, jika ditelusuri lagi, kita akan bertemu perjuangan Anwar dalam membela golongan miskin ini ketika beliau sebagai Menteri Pertanian.

Beliau menggerakkan aktiviti Pasar Tani, yang bertujuan memerangi penindasan orang tengah terhadap golongan petani miskin di luar bandar. Ini berlaku pada tahun 1985.

Sebab itu pada 2022 dalam buku Membangun Negara Madani beliau memberikan takrifan beliau sendiri berkaitan IHSAN iaitu :

“….perasaan Ihsan itu adalah soal menyelami penderitaan dan kemelaratan orang lain, lalu berusaha untuk mencari jalan bagi memgubatinya…..

“Kini beliau berperang dengan kartel dalam pelbagai bentuk. Kini beliau bertungkus-lumus menyusun kembali ekonomi yang telah dirosakkan oleh para penindas rakyat,” kata Amidi.

Ketika Malaysia Madani dilancarkan sebelum ini, ramai tidak faham apa maksud perkataan itu dan apa yang cuba dibawa oleh Anwar melaluinya.

Ketika itulah dilancarkan buku Membangun Malaysia Madani – Visi dan Kerangka Dasar Reformasi.

Oleh kerana buku ini diterbitkan oleh IDE, saya ke pejabat Institut Darul Ehsan (IDE) di Shah Alam untuk bertanya penerbit buku ini sendiri tentang Malaysia Madani.

Ini kerana, ketika itu ramai yang tertanya-tanya, apa maksud Malaysia Madani itu.

Saya dan rakan-rakan disambut oleh Tok Abah atau Datuk Dr Ismail Yusof, orang kanan Profesor Dr Ridwan Othman, yang mengetuai IDE itu.

“Kami sudah bahas isu Madani sejak puluhan tahun lalu lagi. Jadi sekarang bukan masa untuk membahaskan konsep ini tetapi untuk melaksanakannya,” kata Tok Abah.

Tok Abah baru sahaja dilantik sebagai Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) baru-baru ini.

Tok Abah berkata demikian ketika saya meminta beliau menjelaskan isu Madani yang saya akui tidak memahaminya dengan baik apabila ia mula dilancarkan selepas Anwar dilantik menjadi Perdana Menteri.

Kini Amidi, juga dari IDE Reserch Centre menjelaskan lagi tentang apa yang sedang dilakukan Anwar sekarang.

“Maka benarlah apa yang pernah diungkapkan bahawa nukilan beliau dalam buku Membangun Negara Madani bahawasanya:

“Kerangka Madani merupakan kemuncak kepada pengalaman selama empat dekad dalam perkhidmatan awam dan belasan tahun yang dihabiskan bagi memikirkan tentang negara ini dan masa hadapannya.

“Madani bukan slogan tetapi adalah satu terjemahan taat setia dan kasih sayang seorang pejuang terhadap negaranya, Malaysia,” kata Amidi dalam kenyataan medianya.

Dari situ fahamlah kita bahawa apa yang dilakukan Anwar sekarang sudah dirancang dan dimulakan sejak empat dekad yang lalu lagi. Bukan sahaja di dalam negara bahkan juga di luar negara.

Sebab itu, Anwar dilihat sangat jauh ke depan berbanding rakan-rakannya hatta dalam Kabinetnya sendiri. Beliau dikatakan terlalu jauh ke depan.

Namun untuk jauh ke depan, Anwar bukan setakat berkerja siang dan malam, Anwar sentiasa berlari untuk melaksanakan tugasnya.

Sebab itu beliau dilihat jauh ke depan dan bakal membawa Malaysia jauh ke depan juga.

*Tulisan asal disiarkan dalam akhbar mingguan WilayahKU.