PM bukan hanya ‘sembang’ tapi bertindak bangunkan semula Gaza

Oleh ARIF ATAN

Wujud beberapa pihak termasuk bekas pemimpin negara yang memberi kenyataan berbaur sinis terhadap usaha murni kerajaan MADANI untuk membantu pembangunan semula Gaza yang lebih 15 bulan diratah Israel.

Pengerusi Aliansi Masjid Sedunia Mempertahankan Al Aqsa, Datuk Seri Syeikh Ahmad Awang berkata, pendirian untuk meringankan beban mereka yang dizalimi rejim Zionis itu bukti Perdana Menteri bukan hanya ‘sembang’ sebaliknya bertindak.

“Malaysia yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim negara paling terkehadapn memperjuangkan Palestin dan menentang genosid Israel.

“Hari ini pun, Malaysia antara sembilan negara yang bersidang di The Hague, Belanda bagi membincangkan komitmen bersama dalam menegakkan undang-undang antarabangsa.

“PMX sendiri pemimpin yang dilihat bukan sekadar cakap kosong tetapi bersungguh apabila menegaskan pendirian mempertahankan hak rakyat Palestin semasa pertemuan dengan Canselor Jerman sebelum ini.

“Padahal, Jerman secara umumnya rapat dengan Israel,” katanya yang juga Penasihat Umum Parti Amanah Negara (AMANAH) ketika dihubungi MalaysiaDateline hari ini.

Mantan Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM) selama 18 tahun sehingga 1999 itu turut membidas kenyataan Tan Sri Rafidah Aziz yang berpendapat keutamaan perlu diberi kepada keperluan rakyat sebelum memulakan rancangan membangunkan semula Gaza.

“Dia patut dalam usianya kini, duduklah diam-diam daripada bercakap perkara yang menjatuhkan kredibilitinya sebagai bekas pemimpin negara.

“Kita menolong Gaza yang musnah akibat serangan bom dan artileri pengganas Zionis sama sekali tidak menafikan hak rakyat kita sendiri,” tegas beliau.

SAMBUT BAIK

Dalam masa sama, Ustaz Ahmad Awang turut menyambut baik usaha Kerajaan Malaysia bersama Jepun untuk menubuhkan dana melalui kegiatan Asia Timur membangunkan Gaza termasuk dengan pembinaan infrastruktur termasuk sekolah, rumah sakit dan masjid.

“Dalam konteks Malaysia sebagai negara yang sinonim dengan Islam, kita mesti menjadi contoh.

“Kerjasama dengan Jepun sebagai komitmen membangunkan semula Gaza. Walaupun Malaysia negara kecil berbanding negara Islam lain tetapi kelihatan Malaysia lebih ke depan malah melalui organisasi rakyat.

“Saya sebagai ahli syura MAPIM (Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia), kita memang sejak tahun lepas dengan dukungan 20 wakil pertubuhan Islam di Asia termasuk pertubuhan dari Turki menganjutkan seminar di Shah Alam untuk membina semula Gaza.

“Kami pun sudah melancarkan sumbangan derma hinggakan Alhamdulillah, dapat RM30 juta malam itu.

“Kita dah tunjukkan pelan pembangunan termasuk penempatan penduduk dan takungan air. Baru-baru ini MAPIM mengadakan pemukiman untuk takwim 2025 ini, antaranya yang ditekankan adalah pembangunan semula Gaza.

“Kita organisasi NGO bersama kerajaan dalam membangunkan semula Gaza. Mudah-mudahan negara Arab lain akan terbuka nurani untuk memberi dana. Kita harap begitulah. Moga Allah bukakan hati,” kata beliau.

Beliau turut berpendapat walaupun Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkeras mahu memindahkan rakyat di Gaza ke Mesir dan Jordan, hampir mustahil penduduk Gaza akan berpindah.

“Gaza walaupun menjadi salah satu kawasan paling padat penduduk dan paling sesak di dunia sebenarnya adalah tanah air mereka.

“Majoriti rakyat di Gaza dulunya adalah dari bumi yang dirampas dan kini dipanggil Israel,” kata Ustaz Ahmad lagi.

Untuk rekod, Malaysia bakal mencipta sejarah menjadi negara pertama dalam kalangan anggota ASEAN melancarkan Projek Bandar Wakaf bagi membangunkan semula Gaza selepas Ramadan nanti.

Projek bernilai RM120 juta itu juga disifatkan sebagai model pembangunan wakaf pertama Malaysia di bumi Palestin yang boleh dijadikan contoh di peringkat antarabangsa.

Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri akan menaungi projek di tanah wakaf seluas 87 ekar di Khan Yunis itu selaras dengan peranan beliau sebagai peneraju ASEAN yang bersolidariti terhadap rakyat Palestin.