Kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia adalah satu peristiwa penting dunia khasnya demi kepentingan negara dan Asean yang dipengerusikan Malaysia.
Pensyarah Kanan Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, Malaysia dan Asean sangat memerlukan Rusia bagi meluaskan hubungan dagangnya terutama dalam teknologi aeroangkasa dan pertanian.
“Kekuatan Malaysia sebagai sebuah negara adalah sebagai Pengerusi Asean. Kahadiran Datuk Sewri Anwar ke forum ekonomi di Kazan ini adalah mewakili rantau yang kuat dari sudut ekonominya yang mempunyai lebih 500 juta penduduk,” kata Dr Mazlan.

Katanya, kedudukan Malaysia dan Rusia juga sangat penting di dunia termasuk dalam bidang perkapalan dan perikanan.
“Sebagai Pengerusi Asean, Malaysia boleh menjadi wakil negara-negara Asean untuk menyuarakan hak dan kepentingan Asean terutama dalam bidang teknologi aeroangkasa dan juga pertanian yang sangat diperlukan Malaysia dan Asean.” katanya.
Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Moscow untuk lawatan rasmi empat hari bermula hari ini dengan diberi kawalan kehormat sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Vnukovo-2, di Rusia.
Perdana Menteri menerima sambutan kehormatan sejurus tiba di lapangan terbang berkenaan pada jam 6.26 petang waktu tempatan (11.26 malam waktu Malaysia).
Anwar adalah Perdana Menteri pertama Malaysia yang diberikan sambutan seumpama itu selepas hampir dua dekad.
Perdana Menteri kelima iaitu Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi menerima sambutan serupa semasa mengadakan lawatan rasmi ke Russia pada 2007.
Sepanjang lawatan ini, Anwar akan mengadakan pertemuan peringkat tertinggi bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin, dan Perdana Menteri Rusia, Mikhail Mishustin bagi memperkukuh persahabatan Malaysia-Rusia serta merintis kerjasama baharu dalam pelbagai bidang strategik.

“Saya juga dijadualkan bertemu beberapa pemimpin industri utama Rusia untuk menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi ke Malaysia, selain menghadiri Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik Russia-Islamic World dan KazanForum di Kazan,” kata Anwar dalam satu kenyataan.
Tujuan lawatan ini adalah untuk memperkukuh persahabatan Malaysia-Russia serta merintis kerjasama baharu dalam pelbagai bidang strategik.
Dalam dunia yang semakin kompleks, hubungan strategik dengan kuasa besar seperti Russia membuka ruang kerjasama teknologi, perdagangan, keselamatan makanan dan tenaga.
Malaysia tidak lagi hanya menunggu peluang, tetapi kini aktif merintisnya.enyusun langkah.
“Anwar Ibrahim membawa suara Malaysia ke Moscow bukan untuk tunduk, tetapi untuk setaraf,” kata satu kenyataan mengenai lawatan ini.
Sementara itu, Dr Mazlan yakin, Anwar akan mengambil kesempatan untuk bertanya Putin tentang keputusan Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) berhubung insiden pesawat MH17 yang menyalahkan Rusia sehingga mengorbankan 298 orang pada 17 Julai 2014 itu.
“Dalam lawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim ini, mungkin boleh membawa kepada Presiden Putin bahawa isu MH17 ini sangat menyedihkan rakyat Malaysia kerana sebahagian mangsa MH17 adalah rakyat Malaysia.
“Dengan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan hubungan di peringkat antarabangsa, beliau boleh menyampaikan kepada Presiden Putin bahawa mungkin kerajaan Russia boleh mengambil inisiatif untuk membawa pihak yang terlibat ke muka pengadilan.
“Mungkin boleh juga untuk negosiasi pampasan terhadap mangsa,” katanya ketika mengulas lawatan rasmi Perdana Menteri ke Russia selama empat hari sehingga 16 Mei ini.
Mengulas lanjut, Dr Mazlan yakin dengan diplomasi Perdana Menteri yang sangat dihormati di peringkat antarabangsa.
“Mungkin jika perkara ini (tragedi MH17) dibincangkan dari hati ke hati dengan Presiden Putin akan membuahkan hasil.
“Isu MH17 ini sangat sensitif. Tidak semua pemimpin mampu menangani isu tersebut dengan baik.
“Kita mengharapkan Perdana Menteri mungkin boleh memujuk Presiden Putin untuk melakukan sesuatu yang boleh mengurangkan kesedihan mangsa MH17,” kata Dr Mazlan.