Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menyerahkan surat pengesahan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menaiktaraf status Pejabat Ketua Pembangkang dengan kemudahan-kemudahan yang setara dengan Pejabat Menteri.
Hal itu dimaklumkan Setiausaha Organisasi DAP, Loke Siew Fook yang juga Ahli Parlimen Seremban menerusi hantaran di Facebook malam tadi.
Menurutnya, penyerahan surat tersebut berlaku sebelum bermulanya mesyuarat kedua Jawatankuasa Pemandu MoU Transformasi dan Kestabilan Politik di antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) di Bilik Mesyuarat Parlimen petang semalam.
“Mesyuarat membincangkan perkembangan pelaksanaan agenda-agenda pembaharuan yang dipersetujui bersama.
“Beberapa pindaan Perlembagaan Persekutuan akan dibentangkan dalam persidangan Parlimen yang akan datang,” katanya sambil memberitahu mesyuarat terbabit akan diadakan pada hari Isnin setiap dua minggu.
Beliau bagaimanapun tidak memperincikan pindaan terbabit.

Mengulas lanjut, Siew Fook berpendapat mesyuarat membabitkan Kerajaan Persekutuan dan PH itu membawa satu budaya politik yang baharu untuk negara ini.
“Walaupun ada perbezaan politik di antara parti, kita tetap boleh duduk bersama untuk berbincang dan mencari titik persamaan demi kepentingan negara,” tambahnya.
Pada 13 September lalu, Kerajaan Persekutuan dan PH menandatangani MoU Tranformasi dan Kestabilan Politik yang merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.
Susulan itu, pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja akan dibentangkan oleh pentadbiran Ismail.
Kerajaan diterajui pemimpin Umno itu juga bersedia untuk melaksanakan pembaharuan termasuk dalam hal berkaitan Undang-Undang Antilompat Parti, suntikan tambahan dana Covid-19 sebanyak RM45 bilion, mempercepatkan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran automatik pengundi.