Anwar lawat Nurul Nuha di ICU dengan kawalan ketat pegawai penjara

Oleh MALAYSIADATELINE

Anak kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Nuha Anwar yang dilaporkan cedera akibat terjatuh di rumahnya baru-baru ini disarankan supaya berehat dan tidak digalakkan menerima tetamu.

Ahli Parlimen Lembah Pantai  Nurul Izzah Anwar, berkata doktor hospital swasta terbabit yang merawat Nurul Nuha memberitahunya ruang rehat yang secukupnya diperlukan Nurul Nuha bagi membantu beliau kembali sihat dengan lebih cepat.

“Nuha sangat positif tetapi masih dipantau di Unit Rawatan Rapi (ICU). Doktor minta dia berehat dan tidak galakkan pelawat. Sama-sama kita doakan dia cepat sembuh,” kata Nurul Izzah sebagaimana dipetik dari laporan Selangorkini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu juga memberitahu Anwar turut mendapat kebenaran pihak Penjara Sungai Buloh untuk melawat Nuha pada jam jam 3.30 petang semalam.

Anwar berada di hospital swasta itu selama kira-kira 45 minit sebelum dibawa pulang semula ke Penjara Sungai Buloh.

Anwar dikawal hampir 12 orang pegawai penjara ketika melawat anaknya Nurul Nuha  di pusat perubatan Tropicana, Anwar hadir dengan diiringi enam buah motor pengiring dan dua bua van dari penjara Sungai Buloh.

Setibanya di hospital swasta itu Anwar hanya mengharapkan pengunjung yang hadir turut mendoakan agar anaknya Nurul Nuha kembali sihat seperti sedia kala.

Nurul Nuha kini berada di ICU untuk mendapatkan rawatan intensif kerana kecederaan yang dialami selepas terjatuh.Nurul Nuha sebelum ini dilaporkan terhantuk di kepala akibat terjatuh di rumahnya.

Beberapa keping gambar Anwar hadir ke Unit Rawatan Rapi itu telah dimuat naik di laman faebook Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dengan status ditulis:”Wajah DSAI selepas 319 hari di penjarakan..kita harus kukuhkan perjuangan, insya Allah sinaran fajar keadilan akan muncul tidak lama lagi.

“Alhamdulillah DSAI dibenarkan menziarah Nurul Nuha di hospital..semoga anakanda semakin sembuh dengan kekuatan semangat papa.” ujarnya.

Sehari sebelum Anwar melawat anaknya,  Nurul Izzah  turut menyatakan keadaan adiknya Nurul Nuha yang semakin baik tetapi masih lagi memerlukan perhatian sebagaimana dipetik dari twitternya.