Anwar, Mohamad Sabu, Guan Eng dijemput jumpa PM jam 2 hari ini

Oleh BORHAN AHMAD

Tiga pemimpin utama Pakatan Harapan dengan diketuai oleh pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub di Putrajaya.

Menurut Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, pertemuan yang dibuat atas jemputan PM itu akan turut disertai Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Pertemuan berlangsung jam 2 petang di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Sebelum ini, dalam ucapan pertamanya, Perdana Menteri Ismail mempelawa parti pembangkang menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Beliau turut merayu semua ahli parlimen mengetepikan perbezaan dan bekerjasama untuk menyelamatkan “Keluarga Malaysia”.

“Marilah kita, dengan fikiran terbuka dan dada yang menerima, mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali perbezaan,” kata beliau dalam ucapan pertama selepas dilantik sebagai perdana menteri.