Anwar tunggu penjelasan Mahiaddin isu campur tangan kes profil tinggi

Oleh KIM SYAZIE

Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik kenyataan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bahawa tidak ada campur tangan dari pihak beliau melibatkan kes-kes berprofil tinggi di negara ini.

Bagaimanapun Anwar berkata, beliau masih lagi menunggu penjelasan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin yang pada tahun lalu mendedahkan bahawa dia dihubungi pihak tertentu untuk mencampuri urusan mahkamah.

“Kita menunggu dan menuntut penjelasan lanjut dari mantan Perdana Menteri, Mahiaddin tatkala beliau sendiri yang mendedahkan bahawa wujudnya cubaan untuk mengubungi beliau agar mencampuri urusan mahkamah dalam kes-kes berprofil tinggi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Anwar berkata, Mahiaddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu perlu memberi penjelasan segera kerana timbul kemusykilan dan kecurigaan umum apakah pihak eksekutif mencampuri urusan kehakiman meski diakui adanya hakim-hakim yang tegas dan patuh tunduk pada hukum.

“Dalam konteks yang serupa, peguam negara harus juga memberi respon yang tegas,” katanya lagi.

Terdahulu, Tengku Maimun menegaskan, institusi kehakiman tidak pernah didekati mana-mana pihak tertentu untuk campur tangan dalam kes mahkamah.

Beliau menjelaskan, semua hakim membuat keputusan berdasarkan keterangan dan tidak boleh lari daripada prinsip teras tersebut.

Mahiaddin pada tahun lalu pernah mendakwa beliau didekati pihak yang cuba merayu beliau mencampuri urusan mahkamah.

Bagaimanapun beliau menolak berbuat demikian.