Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar perlu mengenalpasti lokasi berpusat stok simpanan bauksit (central stockpile) sebelum bercadang untuk mengeluarkan semula permit kelulusan (AP) baharu kepada pelombong sebelum tamat moratorium pada April depan, kata Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh.
Beliau berkata, fasa pertama (14 Januari hingga 15 Februari) sudah berakhir semalam, yang mana jumlah bauksit di Pelabuhan Kuantan dikenalpasti oleh kementerian berbaki 2.4juta tan metrik lagi yang belum dipindahkan untuk tujuan pembersihan kawasan sekitar pelabuhan.
“Tempoh fasa pertama telah tamat semalam (15 Februari) sepatutnya kerja mencuci pelabuhan sudah bermula serta merta.
“Saya kesal kerana masih belum mendengar berita berkenaan lokasi central stockpile diumumkan oleh kerajaan negeri,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.
Fuziah mengulas kenyataan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar semalam, dipetik berkata, kerajaan sedang dalam proses mengkaji semula pengeluaran permit kelulusan (AP) baharu untuk memastikan baki simpanan 2.4 juta tan metrik bauksit di Pelabuhan Kuantan dapat dibawa keluar ke China sebelum tamat tempoh moratorium pada 14 April (Fasa ke-2).
Dalam tempoh tiga bulan itu langkah mengekang pencemaran akibat aktiviti bauksit melibatkan pengosongan 11 stok simpanan bauksit, mewujudkan sebuah kawasan simpanan bauksit berpusat dan sistem pembersihan sisa bauksit.
Sejak 15 Januari lalu, semua 11 pemilik stok simpanan bauksit melakukan pembersihan di setiap tempat simpanan bauksit.
Fuziah yang juga Pengerusi Gabungan Badan Bertindak Mencegah Pencemaran Bauksit menegaskan, disebabkan kerajaan negeri gagal dalam fasa pertama yang berakhir semalam, ujarnya lagi, kerajaan negeri belum boleh memulakan fasa kedua selagi tidak dikenalpasti lokasi berpusat stok penyimpanan bauksit.
“ Hingga kini kerajaan negeri berdiam diri tanpa mengumumkan di mana lokasi central stockpile itu.
“Pada saya ini semua bukti kegagalan kerajaan negeri untuk regulasi dengan mengunakan garis panduan amalan terpuji antarabangsa ( International Best Practise).
“ Apa janji mereka boleh laksanakan sekiranya operasi perlombongan di mulakan semula tanpa mengenalpasti terlebih dahulu lokasi central stockpile? ” soalnya.
Bagaimanapun beliau tidak menolak pandangan kemungkinan kerajaan negeri sudah mengenalpasti stok simpanan bauksit berpusat cuma belum diumumkan lagi.
“Sebab itu saya minta mereka lebih telus dan umumkan sahaja.
“Cuma undang-undang tidak mewajibkan Laporan Terperinci Kesan Alam Sekitar (DEIA) , saya yang cadangkan kerajaan negeri buat DEIA sebab kita tidak mahu pencemaran ‘laut merah’ berulang di kawasan central stockpile pula,” ujarnya.
Katanya lagi, walaupun tempoh dilanjutkan sehingga April, baki bauksit 2.4juta tan matrik itu memerlukan anggaran 40-50 buah kapal untuk membawa keluar bauksit, sedangkan pada masa ini pelabuhan perlu dicuci, kerajaan negeri tidak perlu tunggu hingga semua baki bauksit dikeluarkan dari pelabuhan.
“Baki bauksit kena pindahkan dahulu baru pelabuhan boleh dicuci sebab itu perlu ada central stockpile.
““Sekarang Wan Junaidi perlu buat keputuan nak keluarkan AP baharu atau tidak sebab dah tamat tempoh.
“ Jika AP baharu dikeluarkan ia akan mengambil masa yang lama nak selesai dan pembersihan pelabuhan tidak boleh bermula. Kalau tak keluarkan AP nak alih ke mana pula bauksit di pelabuhan? Sedangkan Central stockpile pun tiada lagi.
“ Ada satu lagi prosedur boleh dilakukan yang mana kerajaan negeri perlu tunjukkan ‘political will’,” ujarnya.
Justeru Fuziah beranggapan kerajaan negeri tidak dilihat kompeten dan gagal secara total. sebaliknya, keuntungan hanya dikaut oleh pengusaha dan pencemaran udara serta persekitaran dirasai oleh rakyat.
“ Kita mahu pembersihan secara menyeluruh dan tiada lagi pencemaran.
“Dalam hal ini saya cadangkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) buat penilaian awal tapak yang sesuai dan pejabat tanah boleh mohon pada Jabatan Alam Sekitar (JAS) itu caranya, jangan sorok-sorok lah. Lebih telus dan lebih bertanggungjawab,” ujarnya.