Apa hukum mengundi calon bukan Islam? Ini jawapan Dr Zulkifli Al-Bakri

Oleh WAN SITI AMINAH

Tiada dalil qath’ie (muktamad) yang melarang pengundi Muslim untuk memilih calon wakil rakyat daripada golongan bukan Islam. 

Perkara itu disahkan oleh hasil penelitian yang dilakukan bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri.

Zulkifli sedia maklum mengenai ayat-ayat al-Quran yang dijadikan hujah untuk mengharamkan pemilihan calon bukan Muslim sebagai wakil rakyat.

Namun apabila diteliti, ayat-ayat yang digunakan itu sebenarnya merujuk kepada orang-orang kafir yang memusuhi Islam dan penganutnya.

Menurut Zulkifli, larangan tersebut tidak terpakai kepada calon bukan Muslim yang tidak memusuhi dan menghormati agama Islam sebagai agama Persekutuan.

“Hal ini termasuk di bawah topik siyasah syar’iyyah bagi pemerintah untuk membenarkan pencalonan mereka atas dasar maslahat kumpulan minoriti.

“Tanpa menafikan bahawa majoriti ulama silam mengharamkan pelantikan non-Muslim sebagai pemimpin dan keharusan hanya diberikan apabila terdapatnya darurat. 

“Ini dapat difahami memandangkan konteks hubungan Muslim dan golongan bukan Islam pada waktu tersebut berbeza dengan sekarang.

Zulkifli memaklumkan, hukum asal mengundi calon bukan Islam dalam pilihan raya di Malaysia dan melantik mereka sebagai pemimpin adalah harus.

Hukum ini terpakai selagi calon berkenaan tidak mengancam kemuliaan Islam, bersifat amanah dan mempunyai kepakaran dalam melaksanakan tugas.

Bagaimanapun, pengundi perlu memastikan jawatan tertinggi negara seperti Perdana Menteri akan kekal disandang oleh orang Muslim yang berkelayakan.

Tambahnya, portfolio penting dalam hal ehwal agama dan juga pertahanan negara perlu dipertanggungjawabkan kepada pemimpin beragama Islam.

Penjelasan itu diberi Zulkifli menerusi artikel Bayyan Linnas Siri ke-129 yang dimuat naik di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Baca juga: Sebelum mengundi, ini 5 perkara penting yang anda perlu tahu tentang PRN esok