Apa pilihan orang Melayu?

Oleh KIM SYAZIE

Tiba masanya Melayu membuat muhasabah diri dengan perkembangan politik yang berlaku dan berani membuat pilihan siapa yang akan memimpin orang Melayu dari sudut politik/siyasah yang mengangkat martabat mereka.

Parti politik Melayu senantiasa berlumba siapa lebih Melayu kerana itu tiket untuk meraih undi. Parti politik Islam pula memonopoli keIslaman mereka dengan janji syurga, mengkafirkan yang lain, semuanya atas taktik politik menunggang agama.

Majoriti Melayu tidak ada pilihan kerana terperangkap dengan 2 jerat politik iaitu politik payungan dan politik doktrinasi monopoli Islam.

Matlamat kedua-duanya adalah bertujuan politik tetapi pendekatannya menggunakan perkauman sempit dan doktrinasi monopoli agama.

Bagi mencapai motif politik ini, Melayu dimangsakan melalui politik wang, jaga kelompok dan taktik menakut-nakutkan orang Melayu ‘ancaman kaum Cina/DAP dan ancaman kepada Islam”.

Untuk tujuan ini mereka terpaksa memutarbelit fakta, memfitnah kejayaan Melayu lain bagi membuktikan mereka sahaja pembela Melayu dan Islam.

Tujuan lebih jijik daripada itu ialah kelompok ini memperjuangkan kekayaan diri, keluarga dan kelompok sebagai habuan strategi payungan dan doktrinasi mereka.

Apakah ketidakstabilan politik, pengkhianatan, skandal dan politik kebencian kaum yang berleluasa belum cukup menyedarkan orang Melayu kegagalan pendekatan politik ini?

Kegagalan ini adalah peluang untuk orang Melayu berhijrah kepada pendekatan lebih progresif, inklusif dan merdekakan diri dari jerat mentaliti terkepung sehingga terbentuk rasa rendah diri dan senantiasa melihat ‘orang lain’ sebagai ancaman!

Politik nilai dan idea adalah jalan ke hadapan untuk orang Melayu. Pendekatan ini membuka ruang untuk orang Melayu berjalan ke hadapan tanpa dihimpit kelemahan diri dan prejudis kepada ‘orang lain’.

Politik nilai dan idea memerlukan penggubalan dasar yang menyuntik maruah diri orang Melayu.

Amat menyedihkan apabila mangsa politik payungan dan doktrinasi monopoli Islam mengangkat darjat perasuah, penipu, pemutarbelit dan pengkhianat mandat rakyat.

Di manakah Maruah Melayu?