Apa sebenarnya maksud NFA dalam kes simbah asid Faisal Halim? Ini penjelasan Bukit Aman

Oleh KIM SYAZIE

Polis mengesahkan siasatan kes simbah asid membabitkan pemain Selangor FC, Muhammad Faisal Abdul Halim masih tetap diteruskan walaupun kes diklasifikasi sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menjelaskan, status NFA merujuk kepada tangkapan tiga individu dalam kes tersebut.

Kata beliau, sekiranya suspek didapati tidak mempunyai kaitan maka kes akan diklasifikasi sebagai NFA sehingga wujud maklumat baharu.

“Ini merupakan prosedur operasi standard (SOP) dalam mana-mana siasatan.

“Sekiranya tangkapan tidak mempunyai kaitan atau membantu siasatan, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) akan mengklasifikasikan kes sebagai NFA sehingga wujud perkembangan atau maklumat baharu,” katanya menurut Bernama.

Mohd Shuhaily berkata, tiga individu yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan selepas siasatan mendapati suspek sebenar menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu.

Manakala hasil analisis forensik terhadap telefon tiga individu terbabit tidak menunjukkan sebarang bukti penglibatan dalam kejadian berkenaan.

Mohd Shuhaily berkata sebarang perkembangan berkaitan kes akan dimaklumkan kepada peguam yang mewakili Faisal dari semasa ke semasa, dengan siasatan masih berjalan dan kertas siasatan akan dirujuk semula kepada pihak pendakwaan sekiranya terdapat petunjuk baharu.

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan kes berkenaan.

Terdahulu peguam kepada Faisal Halim memaklumkan bahawa kes simbah asid terhadap anak guamnya telah diklasifikasikan sebagai NFA.

Peguam Faisal kemudian memohon kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) agar kertas siasatan membabitkan pemain sayap sensasi Selangor FC itu dibuka semula.

Baca juga: “Isteri aku berhenti waktu sama dengan ‘company’ potong gaji aku separuh, sakit betul rasanya…”