Apakah kerajaan mahu negara tersohor dengan arak buatan Malaysia? tanya Mapim

Oleh KIM SYAZIE

Apakah kerajaan sedia ada kini bersetuju bahawa negara ini bakal tersohor kerana arak buatan Malaysia dengan anugerah pingat perak di Pertandingan Wain dan Semangat Antarabangsa, serta pingat emas untuk Wiski Malaysia Terbaik dalam Pertandingan Wiski Antarabangsa.

Persoalan itu dilemparkan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia ( Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan beliau semalam.

Mohd Azmi juga bertanya, berbanggakah kerajaan Melayu-Islam yang sering dicanang-canangkan sekiranya Winepakinternational.com mempromosi kehebatan arak ‘Timah’ menjadi pemenang anugerah wiski buatan Malaysia pertama yang mempamerkan bahawa produk arak dari Malaysia akan menjadi popular di pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Mapim amat terjejut dengan kewujudan arak berjenama ‘Timah’ yang dikeluarkan oleh Malaysia dan ianya amat bertentangan dengan imej Malaysia sebagai negara Islam.

“Kami amat kecewa apabila belum lagi isu kekerapan judi kepada 22 kali cabutan setahun reda, kini muncul pula arak keluaran Malaysia.

“Apakah imej Malaysia diharapkan akan menjadi popular sebagai negara yang subur dengan industri judi dan arak selepas kemunculan wiski buatan Malaysia yang berjenama ‘ Timah’?,” soal beliau lagi.

Tegas Mohd Azmi lagi, kemunculan arak Timah’ amat memalukan dan merupakan suatu penghinaan kepada umat Islam apabila jenama yang ditonjolkan mengaitkan nama Melayu dan Islam hasil singkatan nama Fatimah.

Kata beliau lagi, pihak penganjur wiski ini jelas sama sekali tidak peduli terhadap sensitiviti umat Islam dalam negara ini dan seolah-olah cuba mencabar umat Islam terhadap prioduk arak mereka.

Tambahnya, firma yang berada disebalik produk arak ini sengaja cuba mencetuskan provokasi sentimen masyarakat Islam serta pihak berkuasa dalam negara ini.

Sehubungan itu tegas beliau, kerajaan dingatkan supaya tidak berdiam diri dan menyatakan pendirian sebenar mengenai isu ini dan ketajaan digesa supaya bergerak kearah polisi sifar pengeluaran arak serta mengkaji semula peraturan dan undang-undang berkaitan penjualan arak dalam negara ini