Apakah PAS menyokong kehilangan RM2.6 bilion?

Oleh BORHAN AHMAD

Tindakan PAS mengkritik ahli-ahli Parlimen dari pihak pembangkang yang bertanyakan soalan mengenai RM2.6 bilion dengan cara menunjukkan ‘placard’ telah mengundang satu persepsi yang buruk terhadap PAS. 

Penyokong pembangkang yang diwawancara Malaysia Dateline rata-rata berpendapat bahawa PAS telah mengubah halatuju politik mereka.

“Adakah PAS masih menyokong pakatan pembangkang atau lebih berpihak kepada BN?  Buat masa ini, pendirian PAS nampaknya tidak berapa stabil,” kata seorang penyokong PAS dari Ampang yang berusia 70 tahun.

Pakcik Hasan yang menjadi pemandu teksi di Kuala Lumpur berkata demikian kerana beliau merasa bahawa pendirian PAS adalah terumbang-ambing.

“Satu masa mereka kata akan bekerjasama dengan Pakatan dan pada masa yang lain pula mereka berkata akan bekerjasama dengan BN.  Mana boleh bekerjasama dengan kedua-dua BN dan Pakatan?” tanya Pakcik Hasan.

Soalan yang sama juga sedang ditanya oleh ramai penyokong pembangkang kerana kalau pendirian PAS tidak teguh, pembangkang akan menjadi lemah.  Selain dari itu, serangan terhadap BN tidak mempunyai kekuatan yang bersatu dari semua ahli pembangkang.

“Adalah sangat menyedihkan apabila PAS berkelakuan begini.  Jika PAS terus mengkritik Pakatan Harapan, maka ia bermakna bahawa PAS berpihak kepada BN.  Amat tidak berbaloi jikalau PAS hendak bersendirian. 

“Pada masa PAS bersendirian seperti pada tahun-tahun 1980an, adakah PAS memenangi kerusi yang banyak seperti pada pilihanraya tahun 2008 dan tahun 2013?” tanya Peter Chong, seorang penyokong PKR yang bekerja di sebuah pasaraya di Wangsa Maju.

Beliau yang berusia 62 tahun berkata pembangkang hanya akan kuat jika bersatu dan PAS memerlukan Pakatan seperti juga Pakatan memerlukan PAS.

Sehingga kini, pendirian PAS yang berdegil hendak bersendirian telah juga mengundang kemarahan penyokong PKR dan DAP.

Seorang surirumah di Kepong yang adalah penyokong tegar DAP berkata walaupun PAS tidak suka kepada DAP, PAS harus sertai Pakatan kerana Pakatan terdiri dari PKR dan Amanah selain dari DAP.

“Atau mungkin PAS juga tidak berapa sukakan PKR dan Amanah,” ujar Pauline Tan secara sinis, surirumah yang berumur 43 tahun itu.

Seorang penyokong Amanah yang bernama Musadiq, berumur 30 tahun berpendapat bahawa PAS terlalu degil dan angkuh apabila hendak bersendirian.

Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam dari parti Amanah pula berkata “PAS mesti perjelaskan pendirian mereka yang asyik berbolak-balik”.

Lima lagi penyokong Pakatan yang bekerja di kawasan kilang perusahaan ringan dekat dengan rumah penulis ini semuanya berkata bahawa walaupun kerajaan tidak mempunyai halatuju yang jelas, pembangkang juga sama.  Oleh itu, kalau semua pihak tidak mempunyai halatuju, bagaimana pula masa depan negara?

Dan bagaimana pula dengan masa depan rakyat terutamanya dari golongan yang miskin dan yang berpendapatan rendah?