Ia bermula dengan laungan “Undur Mahathir” pada tahun 1998, tetapi diakhiri dengan sorakan “Hidup Tun!” pada tahun 2018. Sememangnya kedua-dua adegan ini terlalu kontradik, malah ironik untuk diterima mereka yang berpegang teguh kepada prinsip.
Bukan itu sahaja, sepanjang tempoh 20 tahun ini, tuduhan liwat dilontarkan, dibalas pula dengan gelaran “mahafiraun”, “mahazalim” dan sebagainya. Maruah musuh politik dipijak sewenang-wenangnya, tanpa sehiris belas kasihan.
“Ini politik dunia ketiga,” demikianlah alasan untuk menghalalkan fenomena, sungguhpun secara sinikal. Kita dianggap masih ketinggalan jauh, mundur, tidak matang ketika berpolitik.
Politik ibarat permainan mencampak lumpur antara satu sama lain. Menang atau kalah, kedua-duanya tidak bersih dari lumpur yang kotor.
Banyak yang kita saksikan sepanjang tempoh 20 tahun ini. DAP dilabel sebagai parti Cina yang rasis dan chauvinis, kadang-kala komunis jikalau keadaan memerlukan.
PKR yang lahir di tengah-tengah jalan raya, diperlekehkan bahawa perjuangannya hanya untuk membebaskan Anwar dari penjara, dan menobatkannya sebagai perdana menteri.
Sementara itu, Mahathir dituding jari sebagai bapa segala kejahatan dan kerosakan institusi hari ini.
Jadi, apa yang akan terjadi apabila kedua-dua pihak yang saling melempar lumpur ini tiba-tiba berjabat tangan, berganding bahu dan bekerjasama di bawah satu bendera?
Sudah tentu penyokongnya terpinga-pinga – Bagaimana sebuah parti yang memperjuangkan keadilan boleh bekerjasama dengan mahafiraun?
Bagaimana Mahathir boleh melantik pemimpin tertinggi dari sebuah parti yang anti-Melayu sebagai Menteri Kewangan?
Bagaimana pemimpin DAP pula boleh mengiringi bapa segala kejahatan ke hulur dan ke hilir untuk menjaja sebuah “Harapan Baru”?
Bukan itu sahaja, sepanjang 20 tahun ini, berapa kali Pas bersama dan bercerai dengan DAP? Pada tahun 1998, kedua-dua parti yang bertentangan ideologi akhirnya berkongsi satu wadah setelah gelombang Reformasi mengombak. Bersama Keadilan dan Parti Rakyat Malaysia (PRM), PAS dan DAP membentuk Barisan Alternatif pada tahun 1999, dan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-10.
Namun gandingan ini tidak bertahan lama. Ia berpecah pada tahun 2001, setelah peristiwa serangan pada 11 September berlaku ke atas Amerika Syarikat. Dari kaca mata DAP, Pas adalah parti pelampau agama; dari sudut Pas pula, DAP tidak lain tidak bukan parti yang anti-Islam.
Pertelingkahan kedua-duanya berlanjutan sehingga tahun 2004, dan kedua-duanya berkongsi nasib yang sama – kekalahan yang teruk dalam PRU11.
Kemudian DAP-Pas cuba berdamai, berkongsi pentas atas nama BERSIH, untuk memperjuangkan sistem pilihan raya yang bersih dan adil.
Mereka berjaya mencetuskan Tsunami Politik pada 8 Mac 2008, menjurus kepada penubuhan Pakatan Rakyat kemudiannya. Sejak itu hubungan DAP-Pas terjalin erat. Pas menghalalkan undi terhadap DAP, sementara DAP menyanyikan lagu popular, “Bulan lambang hatiku”.
Bagai kanak-kanak, hubungan ini retak lagi setelah kekalahan dalam PRU13 pada 5 Mei 2013. Sejak itu DAP dilabel semula sebagai anti-Islam, dan Pas pula digambarkan sebagai puak yang konservatif, jumud dan ektrem.
Undi kepada DAP diharamkan, kononnya agenda DAP boleh menggugat kedudukan Islam. Bukan Pas-DAP sahaja, sindir-menyindir ini dipanjangkan kepada Mahathir Mohamad, kononnya Mahathir hanya layak menjadi doktor di klinik 1Malaysia, menurut Presiden Pas.
Sebagai reaksinya, Mahathir pula meminta agar Haji Hadi Awang agar balik menjadi ustaz di kampung.
Inilah yang berlaku dalam politik kita sepanjang 20 tahun. Fitnah-memfitnah, maki-hamun, sindir-menyindir yang melampaui batas.
Hanya kerana seseorang itu mendukung pandangan yang berbeza, beliau diperangi habis-habisan.
Kita melawan seolah-olah musuh politik itu perlu dicantas sehabis-habisnya, atau kita akan dibalas dendam kemudian. Hubungan persaudaraan dan persahabatan terjejas, kerana tohmahan yang membingitkan telinga ini terkeluar dari bibir sesama diri.
Tetapi, sama ada ditahan dan ditumbuknya, dipijak maruahnya sekalipun, satu hari nanti, kita terpaksa berjabat tangan dengan “musuh” politik tersebut apabila keadaan memerlukan.
Mahathir dengan musuh-musuh ketatnya, dari Anwar Ibrahim, Mat Sabu hinggalah Lim Kit Siang, terpaksa berdamai satu hari.
Pas yang seketika dahulu paling memusuhi Umno, kini semakin erat pula hubungan kerjasamanya.
Akhirnya kita sedar, perbezaan pandangan, malah pertembungan kepentingan dalam politik, padahal boleh diselesaikan secara rasional.
Kita tidak semestinya perlu bermusuh dengan mereka yang berbeza pandangan. Kita seharusnya membina satu sistem yang direstui kebanyakan orang, untuk mengendalikan perbezaan kita secara berhemah.
Bagai Kentucky dengan McDonald, berdekad-dekad mereka bersaing, tetapi jarang-jarang kita mendengar cemuhan sesama diri mereka. Bagai Benz dan BMW, berkurun-kurun mereka bersaing, hanya menghasilkan enjin kereta yang lebih berkualiti untuk kegunaan manusia sejagat.
Mengapa persaingan dalam politik kita perlu berakhir dengan pergaduhan dan pendamaian yang terlalu dramatik, malah kadang-kala, kebudak-budakan?
—
*Penulis adalah bekas editor akhbar politik dan portal berita, kini kolumnis Mingguan Amanah dan Malaysiakini.