Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang tidak menolak kemungkinan berlaku konflik kepentingan melibatkan keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali
terhadap kes melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Adakah Apandi bersalah melibatkan percanggahan kepentingan apabila memutuskan bahawa Najib tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah membabitkan derma RM2.6 bilion?” soal beliau dalam satu kenyataan media yang dilaporkan Roketkini.com.
Apandi hari ini membuat kenyataan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak melakukan kesalahan dalam skandal derma RM2.6 bilion atas alasan
sejumlah RM2.03 bilion sudah dipulangkan kepada keluarga diraja Arab Saudi pada 2013.
Apandi yang baru dilantik sebagai Ahli Lembaga Tabung Haji kemudian mengarahkan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menutup kes berkenaan.
Malah, Kit Siang berkata, peristiwa pemecatan tergesa-gesa Tan Sri Gani Patail sebelum diganti Apandi secara mengejut sebagai punca kemungkinan berlakunya percanggahan berkenaan.
Gani dipecat atas alasan masalah kesihatan tetapi ada ura-ura mengatakan ia berikutan bekas Peguam Negara itu mahu membuka kertas pertuduhan terhadap
Najib.
Ekoran itu, Kit Siang menggesa supaya Apandi tidak diberi ruang untuk membuat keputusan berkaitan laporan SPRM dan mencadangkan supaya Peguamcara Negara memikul tanggung jawab itu.
“Pendedahan Apandi bahawa Najib mengembalikan RM2.03 bilion, dua bulan selepas pilihan raya umum, membangkitkan pelbagai persoalan.
“Mengapa beliau menerima derma itu? Mengapa memulangkan semula RM2.03 bilion pada Ogos 2013? Bagaimana pula dengan baki RM570 juta?” katanya yang
mendesak Apandi mendedah kertas siasatan SPRM dalam kes itu kepada umum.