Aset 1MDB lebih RM20 bilion berjaya dipulangkan kepada kerajaan Malaysia

Oleh KIM SYAZIE

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan bantuan agensi-agensi penguatkuasa antarabangsa, setakat ini berjaya memulangkan sejumlah RM20,530,433,626.97 atau RM20.53 bilion kepada kerajaan Malaysia.

Perkara tersebut dimaklumkan SPRM menerusi kenyataan medianya hari ini dan kini sedang giat meneruskan pemulihan aset dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di dalam dan luar negara seperti Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Taiwan serta Singapura.

SPR memaklumkan, Commercial Affairs Department (CAD) Singapura telah membuat pemulangan wang milik bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC International Sdn. Bhd., Nik Faisal Ariff Kamil kepada kerajaan Malaysia pada 12 November lalu.

Pemulangan dibuat menerusi Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (Assets Recovery Trust Account) milik Kementerian Kewangan Malaysia berjumlah AS$ 864,813.27.

“Sebelum ini, kerajaan Singapura juga telah membantu dalam pemulangan aset sebanyak AS$15.4 juta kepada Malaysia melibatkan akaun Cutting Edge Industries Ltd. milik Datuk Tawfiq Ayman dan Samuel Goh.

“Sehingga kini, SPRM dengan kerjasama dan bantuan agensi-agensi penguat kuasa antarabangsa telah berjaya memulangkan sejumlah RM20,530,433,626.97 kepada kerajaan Malaysia,” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, SPRM sedang dalam usaha untuk pemulihan aset bagi negara-negara seperti Switzerland, Kuwait, Mauritius, Cyprus, Hong Kong yang melibatkan individu yang mempunyai kaitan dengan kes 1MDB.