Pelakon dan pengacara, Janna Nick sebelum ini mendedahkan bahawa rakan artis iaitu Ashraf Muslim adalah individu bertanggungjawab membuang saka yang dikatakan diwarisi keluarganya.
Janna yang pada mulanya tidak percayakan perkara mistik itu membuat keputusan untuk membuangnya selepas dimaklumkan Ashraf bahawa ‘benda’ tersebut boleh memberikan kesan negatif kepada tubuh badan.
Terbaharu, Ashraf tampil dalam sesi ‘podcast’ atau audio siar iaitu Sembang Seram untuk menceritakan kejadian dilaluinya dengan lebih terperinci ketika merawat Janna Nick menggunakan kaedah perubatan Islam.
Kejadian berlaku beberapa tahun yang lalu ketika mereka berdua terlibat dalam satu sesi penggambaran di mana Ashraf merasa tidak selesa sehingga sukar menghafal dialognya.
“Saya ada rasa tak selesa ketika waktu penggambaran. Bukanlah rasa tak selesa dengan Janna tetapi dengan ‘benda’ itu. Apabila tak selesa dan rasa sesuatu pada Janna, saya ubatkan dia.
“Adalah jin-jin berada di dalam badannya yang berjaya saya keluarkan. Alhamdulillah, tak adalah dia sampai kena rasuk ke apa,” kata pelakon berusia 43 tahun itu kepada pengendali podcast, Safwan Nazri yang juga seorang aktor.
Ashraf juga mengakui pendedahan yang dibuat oleh Janna sebelum ini adalah betul di mana dia perlu bersilat untuk mengeluarkan jin-jin tersebut dari tubuh pemilik nama sebenar Nurul Jannah Muner itu.
Jelasnya lagi, jin tersebut tidak boleh dilihat dengan mata kasar namun tekanannya dapat dirasakan malah begitu kuat ketika sedang bersilat untuk mengeluarkannya dari badan Janna.
“Memang betul macam Janna cakap, saya bersilat untuk mengeluarkan jin itu dari badan dia. Sebenarnya dalam badan dia (Janna) adalah jin sebesar zarah sahaja, tetapi apabila keluar dia sangat besar.
“Saya tak nampak, tetapi dapat rasakan ‘resistance’ (tekanan) dia itu macam mana. ‘Resistance’ ini contohnya macam kita tengah memandu dalam keadaan laju dan kita keluarkan tangan. Hah itulah perasaannya,” jelasnya.
Dalam sesi sama, Ashraf turut berkongsi nasihat diberikan kepada Janna yang boleh juga diamalkan orang ramai untuk mengelakkan diri daripada dikawal oleh makhluk halus.
“Saya juga memberikan pesan kepada dia untuk selalu berzikir. Kenapa? Sebab kekuatan zikir di dalam hati ini berupaya membantu kita dalam apa juga keadaan. Jika anda ada masalah tekanan, kegelisahan dan sebagainya, duduk tegak dan berzikirlah ‘Lailahaillallah’.
“Apabila dalam hati itu kita berzikir dan beriman kepada Allah, Insya-Allah benda-benda halus seperti itu susah untuk kawal kita,” Ujar Ashraf dalam sedutan podcast berkenaan yang turut dimuat naik di platform TikTok.
Baca juga: Diiktiraf pemain ke 3 paling bernilai, nilai pasaran Arif Aiman meningkat lagi