Anak tiri penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Asyraf Khalid berjaya mencuri tumpuan selepas membuat perkongsian di laman TikTok miliknya.
Setelah sekian lama menyimpan rahsia, Asyraf yang juga merupakan seorang ahli perniagaan itu akhirnya membongkarkan kisah cinta penyanyi sensasi, Nabila Razali.
Melangsungkan perkahwinan selepas enam bulan berkenalan, Asyraf rupanya orang yang bertanggungjawab memperkenalkan Nabila dengan suaminya, Nik Iruwan Izani.
Dedah lelaki berusia 31 tahun itu, perkenalan pasangan dua sejoli tersebut bermula apabila dia menjemput Nabila dan Iruwan untuk hadir ke majlis sambutan hari jadinya.
“Saya sudah beritahu, ingin memperkenalkan mereka berdua antara satu sama lain. Nik datang tepat pada masanya dan kelihatan sangat segak. Tetapi sekitar jam 9.30 malam, Bella (Nabila) masih tidak nampak bayang.
“Jadi saya menghantar gambar kami berdua kepada kepada Bella, mengatakan kami sedang menunggunya. Bella sangat pemalu, tetapi nasib baik dia rapat dengan sepupu saya.
“Sepupu saya akhirnya berjaya meyakinkannya untuk datang. Tidak sampai enam bulan, mereka sah bergelar suami isteri. Masya-Allah,” tulisnya di ruangan kapsyen hantaran tersebut.
Menurut Asyraf, dia sudah bertanyakan status kedua-dua rakannya ketika bertemu mereka di majlis rumah terbuka yang berbeza sebelum pertemuan tersebut diadakan.
“Saya bertanya kepada Nik, siapa teman wanita awak sekarang? Dia jawab, saya single. Katanya mahu berkahwin tetapi perlu mencari wanita yang betul-betul sesuai.
“Dua hari selepas itu, saya bertemu Bella secara kebetulan dalam majlis rumah terbuka yang lain dan bertanyakan tentang soalan yang sama. Bella menyatakan dirinya masih bujang.
“Katanya terlalu sibuk untuk mencari teman lelaki. Secara tiba-tiba, Nik berada di dalam fikiran dan saya terus bercerita kepada Bella mengenai dia (Nik).” Ulasnya.
Terdahulu, Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali melangsungkan pernikahan dengan usahawan, Nik Iruwan Nik Izani pada Sabtu lalu (18 November).
Dalam satu majlis tertutup yang berlangsung di The Chateau Spa & Wellness Resort, Bukit Tinggi, Pahang, penyanyi tersebut menerima mas kahwin sebanyak RM22.50.
Selamat dinikahkan oleh Jurunikah, Ustaz Fawwaz Zarin Che Lah dengan sekali lafaz, pasangan berkenaan bagaimanapun merahsiakan jumlah wang hantaran.
Baca juga: Hanya guna 2 bahan, ini petua orang lama untuk pulihkan demam tanpa ubat