Pelakon, Atikah Suhaime berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas berkongsi pengalaman misteri yang dialami oleh suaminya ketika mereka bercuti bersama di sebuah tempat peranginan di Pahang.
Menurut pelakon berusia 34 tahun itu, kejadian tersebut menjadi punca bayi mereka iaitu Lyla Mulan Teh sentiasa digendong sepanjang masa ketika berada di situ untuk mengelak berlakunya kejadian tidak diingini.
Difahamkan suaminya iaitu usahawan, Datuk Lokman Teh mengalami perkara pelik ketika kejadian ekoran diganggu oleh entiti yang dikatakan telah menyerupai dirinya ketika pelakon terbabit berada di dalam tandas.
Perkara itu dedahkan Atikah menerusi ruangan komen di akaun TikTok miliknya berikutan ditegur oleh pengguna media sosial yang melarangnya mendukung anak dengan kerap selepas menonton video dikongsi pelakon terbabit.
Dalam rakaman berdurasi lima minit dua saat itu, pemilik nama sebenar Nur Atikah Mohd Suhaime dilihat sedang memasak beberapa hidangan termasuk sup ekor, ayam kicap dan sayur goreng sambil menggendong anaknya.
“Terima kasih di atas nasihat. Tetapi buat masa ini, Tika tak benarkan Mulan sendiri. Perlu ada orang tengok dia takut berlaku apa-apa. Kalau bukan Tika atau pembantu yang gendong, ada benda lain gendong nanti. Suami cerita dia kena kacau.
“Pukul 4 pagi, suami dengarlah saya cakap nak gendong bayi sambil jalan-jalan keluar. Tengok-tengok, saya tengah tindih peha dia dengan kain batik nak ambil Mulan. Tetapi waktu itu saya sebenarnya di dalam tandas. Tengah buang air kecil.
“Untung secara kebetulan saya keluar tandas dan benda itu hilang juga. Suami juga tidak ditindih lagi dan boleh bangun. Sejak kejadian itu, saya tak biarkan Mulan sendiri dekat Villa ini. Kena gendong, jangan biarkan lepas dekat atas katil sendiri.” Kongsi Atikah.
Atikah menjelaskan bahawa kejadian mungkin berlaku ekoran mereka berada di tengah hutan bukan bermakna Villa yang didiami oleh mereka sepanjang percutian itu berlangsung berhantu.
Baca juga: Timbul dakwaan bakal rujuk dengan bekas suami, ini respon Nora Danish