Atlet luncur angin Israel : DAP tarik kenyataan selepas dibantah PAS dan Amanah

Oleh MALAYSIADATELINE

Ketua Biro Pembangunan Ekonomi DAP Perak, Chong Zhemin hari ini menyesali kenyataannya mengenai sekatan dua atlet Israel ke negaraa ini telah diputarbelitkan oleh pihaak tertentu bahawa beliau berhak kepada Israel.

Menurutnya oleh kerana kenyataan itu telah menimbulkan kekeliruan pendirian  beliau terhadap perjuangan rakyat Palestin dan regim Israel, justeru katanya beliau ingin menarik kenyataan yang telah dibuat semalam.

“Saya ingin menegaskan pendirian saya menyokong perjuangan Palestin dan menolak kekejaman dan kezaliman regim Zionis yang menindas rakyat Palestin,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Jumaat DAP Perak menyelar Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kerana menafikan visa dua peserta luncur angin dari Israel yang dijadual menyertai satu kejohanan di Langkawi, hari ini.

Chong Zhemin yang juga Setiausaha Orgnisassi DAPSY Perak , di dalam blognya dipetik berkata, Khairy menggunakan sentimen politik dan peribadi dalam acara sukan antarabangsa itu.

Hari ini, Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, kerajaan harus konsisten dalam memastikan tidak berlaku sebarang hubungan dengan Israel seperti yang berlaku sebelum ini membabitkan firma perunding Israel, APCO Wolrdwide dalam memberi khidmat rundingan terhadap kerajaan Malaysia.

“Dalam masa sama kami juga melahirkan rasa kecewa atas kenyataan Ketua Biro Ekonomi DAP Perak, Chong Zhemin yang menyelar tindakan Khairy, kononnya menteri itu menggunakan sentimen politik dan perubadi dalam acara sukan antara bangsa itu,” ujarnya.

Manakala pendirian sama turut dizahirkan oleh Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Perak, Mohd Akmal Kamaruddin yang berkata,Dewan Pemuda PAS Perak mendesak Chong Zheminn menarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf kerana telah mengguris perasaan rakyat Malaysia yang sentiasa bersolidariti buat Palestin tanpa mengira bangsa dan agama.

“Dewan Pemuda PAS Perak menyokong keputusan Kerajaan Malaysia untuk tidak membenarkan dua peserta luncur angin dari Israel, Yoav Omer dan Noy Drihan mengambil bahagian dalam Kejohanan Luncur Angin Belia Dunia yang akan diadakan di Langkawi bermula 27 Disember ini.” ujarnya.