Audio tak jelas, Lembaga Peperiksaan nafi guna suara TikToker untuk Ujian Mendengar Bahasa Inggeris

Oleh KIM SYAZIE

Pelik mengapa nama Kamal ‘trending’ di Twitter, rupa-rupanya berkaitan dengan Ujian Mendengar Bahasa Inggeris (UMBI) peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

Peperiksaan yang dijalankan pada 16 Februari lalu mendapat perhatian kerana murid dikatakan keliru dengan buah apa yang disebut kerana sebutan tidak jelas.

Lembaga Peperiksaan Malaysia (LP) bagaimanapun menafikan menafikan dakwaan penggunaan TikTokers sebagai pelontar suara audio UMBI.

Malah memaklumkan bahawa semua pelontar suara untuk ujian tersebut terdiri dalam kalangan guru, pensyarah, murid sekolah atau penuntut universiti.

“Pelontar suara merupakan mereka yang berwibawa dalam berbahasa Inggeris. Mereka yang terlibat juga telah diberikan latihan sebelum proses pembinaan item atau instrumen UMBI SPM Tahun 2022.

“Sehubungan dengan itu, LP yakin bahawa kualiti bahan audio dan kertas soalan UMBI SPM tahun 2022 kekal utuh,” jelas kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Tambahan juga, LP akan memastikan kepentingan dan keadilan kepada calon yang menduduki peperiksaan SPM tahun 2022 adalah terjamin.

Sebelum ini tular mengenai calon pelajar yang bingung sama ada Kamal menyebut ‘strawberry’ atau ‘pineapple’.

Lebih kasihan, ada pelajar yang mendengar nama buah lain kerana audio yang sangat tidak jelas jika mahu dibandingkan dengan Ujian Mendengar bahasa Melayu.

Baca juga: Jual syiling dobi ‘online’, pemuda minta pengusaha tukar kepada pembayaran tanpa tunai