Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Nasional menggesa agar satu siasatan terperinci dijalankan terhadap doktor-doktor yang terlibat dengan pemalsuan sijil vaksin Covid-19 dan dikenakan tindakan yang tegas.
Pengerusi Biro Kesihatan, Dr Hafidzah Mustakim berkata, walauapa pun tujuan doktor berkenaan, tindakan memalsukan sijil vaksin adalah perbuatan yang salah dan tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang doktor perubatan yang selama ini khidmat mereka dipandang tinggi oleh masyarakat.
“Walaupun insiden ini bak pepatah akibat nila setitik rosak susu sebelanga, namun hakikatnya ianya ditolak dan dianggap memalukan oleh komuniti perubatan.
“Sesungguhnya profesion perubatan mempunyai kawalan dalaman yang kuat. Ia ditunjukkan dengan kenyataan Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr Koh Kah Chai yang mahukan hukuman paling berat dikenakan kepada yang bersalah,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline hari ini.
Terdahulu media melaporkan tujuh individu termasuk pemilik sebuah klinik swasta di Gombak ditahan selepas disyaki mengeluarkan sijil vaksinasi Covid-19 kepada pelanggan tanpa melalui proses suntikan vaksin.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dipetik berkata, semua suspek termasuk tiga wanita berusia 20 hingga 35 tahun itu ditahan dalam serbuan di klinik berkenaan.
Polis turut mengesan kegiatan sama di Marang apabila seorang pengamal perubatan berusia 51 tahun yang mengeluarkan sijil vaksinasi palsu akhirnya terbongkar selepas dia ditahan sepasukan polis.
Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa, tangkapan terhadap doktor lelaki berusia 51 tahun di sebuah klinik swasta di Marang itu dilakukan selepas menerima maklumat orang awam berhubung aktiviti tersebut.
Sementara itu Hafidzah berkata, beliau berpendapat ada segelintir pihak yang terdesak sehingga sanggup terlibat dengan kegiatan mendapat sijil vaksin palsu itu
Justeru beliau mencadangkan agar pihak berkuasa menyediakan kaedah alternatif seperti menjalankan ujian Covid-19 secara berkala agar mereka yang tidak mengambil vaksin dapat meneruskan kehidupan mereka sekaligus mencegah penyelewengan dan rasuah berlaku.