Awie minta Amy Search ambil tanggungjawab, cerita perkara sebenar – “Sesak dada aku nak menjawab”

Oleh WAN SITI AMINAH

Penyanyi rock lagenda, Datuk Awie menggesa rakan artis iaitu Datuk Amy Search untuk segera tampil meleraikan salah faham mengenai isu serangan yang dikatakan turut menyeret namanya.

Menerusi satu hantaran dimuat naik di akaun Facebook miliknya, Awie meluahkan rasa kesal berikutan namanya turut terseret dalam isu tersebut sehingga membuatkan dadanya sesak menjawab tuduhan orang ramai.

Oleh yang demikian, pemilik nama sebenar Ahmad Azhar Othman itu meminta Amy mengambil tanggungjawab sepenuhnya dengan menceritakan perkara sebenar agar spekulasi berhubung isu tersebut terhenti.

“Amy Search, kau ceritalah perkara yang betul. Habis semua manusia kepoh ini tuduh aku. Ambillah tanggungjawab. Beritahu perkara yang sebenarnya. Penat dan sesak dada aku nak membaca dan menjawab hal kau,” kesal Awie.

Difahamkan, isu yang dimaksudkan oleh Awie ini adalah dakwaan berhubung serangan dialami oleh penyanyi iaitu Shila Amzah dalam satu sesi latihan konsert di Stadium Merdeka pada Khamis lalu.

Hal ini berikutan ramai pengguna media sosial bertindak menunding jari terhadap Awie sebagai ‘penyanyi lagenda’ yang telah menyerang Shila di dalam kejadian tersebut tanpa mengetahui perkara sebenar.

Penyanyi lagenda berusia 57 tahun itu juga bertegas akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang bertindak keterlaluan sehingga menyebarkan fitnah mengaitkan dirinya.

Terdahulu, Shila Amzah mendakwa dirinya telah diserang oleh individu bergelar ‘artis lagenda’ di dalam sesi latihan konsert ulang tahun ke-20 Mr D.I.Y yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat lalu di Stadium Merdeka.

Shila menerusi hantaran di Instagram Story meluahkan rasa terkejut ekoran tidak menyangka artis legenda itu boleh bertindak sedemikian di khalayak ramai terutama mereka yang bertugas dalam penganjuran konsert.

Penyanyi itu juga mendakwa bahawa tindakan individu terbabit turut memberikan kesan kepada emosi ekoran menimbulkan perasaan cemas (anxiety) dalam dirinya selain bimbang akan keselamatannya.

Baca juga: Shila Amzah tak sangka diserang artis lagenda di depan ‘kru’, laporan polis sudah dibuat