Hati anak manakah tidak hancur melihat ‘kemusnahan’ keluarganya angkara insan bergelar ayah yang kononnya ingin mengubah nasib keluarga melalui aktiviti pelaburan.
Lebih memburukkan keadaan, sang bapa rela mengambil keputusan untuk berhenti bekerja walaupun meraih gaji tinggi demi menjadi pendagang mata wang asing (Forex).
Mahu tragedi menimpa keluarganya itu dijadikan sebagai pengajaran, berikut perkongsian sang anak yang terpaksa melakukan tiga pekerjaan untuk menanggung keluarga.
“Ayah mula ‘ketagih’ dengan perdagangan mata wang asing (Forex) ketika berada di tahun pertama pengajian ijazah sarjana muda. Waktu itu, ayah aku sembang macam terpaling ‘trader’. Mak pula suruh aku doakan ayah berjaya agar boleh berhenti kerja. Kata mak, nanti warga muda belia tiada kerja kalau ayah tak pencen awal.
“Macam itulah sembang kencang isteri kepada penagih Forex. Waktu itu, aku sangat tak setuju dengan keputusan ayah sebab dia memang tak pandai dalam bidang yang lain daripada kerja hakikinya. Untuk makluman, dia generasi yang lahir hujung 60-an. Memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang sains daripada universiti luar negara.
“Mesti anda semua fikir yang gaji ayah aku ini lebih daripada lima angka dengan usia dan tahap pendidikan seperti itu. Betul, pendapatan dia lebih dari RM20,000 sebulan. Mesti pembaca bayangkan hidup keluarga aku mewahkan? Malangnya sangat tidak benar. Sejak dia jadi penagih forex, aku terpaksa korbankan duit biasiswa.
“Aku kena serahkan kepada mak untuk menutup lubang belanja rumah. Masuk tahun kedua belajar, aku sudah mula jumpa doktor pakar sebab masalah kelainan hormon. Sudahlah kewangan ibu bapa aku huru-hara. Ya Allah, Tuhan sahajalah tahu betapa merananya jiwa aku ketika melalui tempoh untuk menghabiskan pengajian.
“Aku terpaksa terus kerja sehari selepas menghantar projek tahun akhir. Mula-mula bekerja, gaji aku cuma RM2,500. Itu belum tolak caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) lagi. Aku pula duduk jauh dari keluarga, jadi perlu bayar sewa rumah. Sebab kerja perlukan kakitangan ada kenderaan sendiri, tambah lagi kos.
“Ubat-ubatan juga aku kena menanggung kosnya. Jadi boleh bayangkan tak betapa kecilnya gaji aku sebenarnya. Tetapi tetap ya, mak hubungi telefon aku meminta duit sebab adik-adik kena makan. Setiap awal tahun juga, mak aku akan meraung-raung minta pertolongan untuk lunaskan yuran sekolah dan pengajian adik-adik.
“Setiap kali aku persoalkan mana gaji ayah yang lebih RM20,000 itu, mesti mak akan jawab jangan tanya dia apa-apa. Katanya tak pernah tahu mana pergi duit suaminya itu. Akhirnya aku ajak keluarga semua pindah ikut tinggal di bandar dengan harapan kuranglah beban diri ini sebab hanya perlu menanggung satu rumah sahaja.
“Malangnya, ayah tiba-tiba membuat keputusan untuk terus pencen selepas ikut aku pindah ke bandar untuk memberi fokus yang maximum terhadap kerjayanya sebagai pedagang Forex (trader). Bayangkan dalam tempoh kurang dari setahun, semua duit KWSP, duit tabung haji, termasuklah simpanan pendidikan adik-adik lebur.
“Waktu adik nak masuk universiti, aku menangis selepas dapat tahu wang simpanan mereka juga lebur sebab Forex. Menangis sampaikan kepala ini aku hentak-hentakan di stereng. Ya Allah, rasa kasihan sangat kepada mereka. Nak tak nak, aku terpaksa buat dua ke tiga kerja untuk tanggung yuran dan belanja makan mereka di kampus.
“Sekarang ini, ayah tetap dengan ego dia tak nak bekerja walaupun sudah berstatus muflis. Tetapi makan tetap nak lima kali sehari. Selepas makan, mestilah tidur. Tidur pula berdengkur satu taman. Aku pula sentiasa kena serangan panik. Tidur juga tak pernah lena sebab runsing memikirkan perbelanjaan untuk esok hari.
“Paling aku sedih, pernah kawan hulurkan duit di tangan tanpa diminta. Mereka juga pernah telefon untuk tanya aku ada duit tak untuk esok. Aku tak berani nak jawab ya atau tidak. Aku sangat sedih sebab rasa diri ini sudah macam pengemis hanya untuk cukupkan keperluan keluarga.
“Kisah aku dan Cikgu Istiqomah cuma secebis cerita dari rentetan mangsa ketagihan Forex. Sesungguhnya bukan senang nak senang. Kerjalah, cari duit yang halal. Tiada jalan pintas untuk meraih kekayaan. Sesungguhnya kaya itu bukan kejayaan. Namun kejayaan yang sebenar adalah keberkatan.” Kongsinya di sebuah forum atas talian.
Baca juga: “3 tahun aku tunggu kawan bayar hutang RM2k, selamba dia bagi alasan Allah tak izinkan..”