“Ayah minta RM70 pun berkira ke?”, pelajar sedih dipaksa bagi duit walaupun sendiri cukup-cukup makan

Oleh KIM SYAZIE

Seorang pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi berdepan dilema apabila menerima permintaan daripada ayahnya untuk meminjamkan wang, meskipun dia sendiri sedang bergelut dari segi kewangan.

Berdasarkan tangkap layar perbualan yang tular di media sosial, ayah kepada pelajar berkenaan mahu meminjam duit sebanyak RM150.

Pelajar yang disapa sebagai “kakak” itu kemudian memaklumkan bahawa dia tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membantu ayahnya.

Wang belanja bulanannya juga sudah habis digunakan untuk keperluan akademik serta bayaran makanan harian.

“Sorry ayah duit bulan ini tak banyak. Kakak pun tak cukup duit untuk final year project kakak,” balas pelajar itu

Namun, ayahnya tetap berkeras meminta bantuan, mempersoalkan keengganan anaknya itu:

“Pinjamlah dulu. Kakak kan kerja (part time). Tak kesian ayah ke? Selalunya kakak tak kedekut

“Kakak, Ayah minta RM70 pun berkira ke? Ayah hutang kawan juga ni. Tak kesian ayah???”.

“Sorry ayah, akak memang tak ada duit sangat sekarang… hutang dengan kawan duit program dengan duit makan ni banyak dah tak bayar,” balasnya dalam mesej WhatsApp kepada ayah.

Dalam mesej lain, si ayah juga mengungkit perihal bekerja sambilan, mengatakan anaknya seolah-olah banyak alasan.

Apa yang menyedihkan ialah apabila pelajar itu terpaksa menjelaskan dengan nada yang tenang walaupun jelas tertekan.

“Ayah, akak memang tak boleh tolong kali ini. Maaf ayah.”

Perbualan ini mengundang simpati warganet yang menyifatkan pelajar terbabit berada dalam situasi “sandwic” iaitu tersepit antara tanggungjawab keluarga dan keperluan diri sendiri.

Pengguna media sosial menyatakan rasa simpati selain menasihatkan ibu bapa di luar sana supaya berusaha kumpul duit sendiri agar tidak menyusahkan anak-anak ketika sudah tua kelak.

Baca juga: Terkejut motosikal Scrambler tiba-tiba sampai depan pintu, rupanya anak pesan guna COD