Penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat mengakui merasa ‘naik seram’ apabila harus tidur berdua-duaan bersama cahaya mata sulungnya iaitu Ana Nayla tanpa kehadiran suami di rumah.
Hal ini kerana menurut Ayda, kanak-kanak berusia empat tahun itu sering memandang ke arah lain ketika berborak dengannya sebelum tidur seolah-olah ada ‘sesuatu’ yang lebih menarik perhatiannya.
Namun pemilik nama sebenar Nur Suhada Jebat itu tidak berani bertanya perkara sebenar yang diperhatikan Nayla ekoran ini bukan kali pertama pelakon terbabit berdepan kejadian misteri melibatkan kanak-kanak berkenaan.
Pelakon berusia 34 tahun itu kemudian berkongsi perkara tersebut menerusi hantaran yang menjadi sorotan ramai susulan dimuat naik di akaun media sosial Threads miliknya, baru-baru ini.
“Malam ini tidur dengan Nayla berdua. Dada (Ayah) dia kerja. Apabila tidur dengan dua, memang akan rasa seram sedikit. Sebab ketika kita berborak sebelum tidur, dia akan cakap. Tetapi sekejap-sekejap pandang ke satu tempat.
“Secara ‘random’ (rawak), kadang-kadang dia pandang ke atas. Kadang-kadang di tepi kita. Hati memang rasa nak tanya, ‘Tengok apa Nayla?’. Tetapi takut pula kalau dengar jawapan daripada dia. Baiklah Mama diam sahaja, Nayla.
“Cepat-cepat suruh dia tutup mata dan tidur. Tetapi itulah, rasa seronok apabila berborak berdua. Yang tak seronoknya apabila dia tengok ke tempat lain,” kata Ayda dalam perkongsian tersebut.
Pelantun suara lagu Pencuri Hati itu turut mendedahkan beberapa pengalaman misteri lain di dalam perkongsian sama yang pernah dihadapinya ketika meluangkan masa bersama Nayla.
Situasi mencemaskan ini turut dialami di luar kediaman termasuklah di kedai makan di mana ia berlaku hadapan matanya dan suami yang merupakan seorang pengacara dan model iaitu Nabil Mahir.
“Bukan tak pernah ketika kami tengah berborak, tiba-tiba Nayla cakap, ‘Mama, kenapa nenek itu datang sini?’. Nasib bukan berlaku pada malam hari, tetapi di siang hari buta. Ketika di dalam kereta, dia siap lambai luar tingkap.
“Malam-malam apabila ditanya, dia cakap, ‘Ada hantulah mama’. Berdesuplah Dada bawa kereta sambil membaca ayat kursi. Apabila pergi kedai makan, kadang-kadang ada sahaja sebab yang buatkan dia tidak mahu masuk.
“Ini bukan bercakap tentang kedai, restoran atau warung. Tetapi di pusat beli-belah pun ada, hotel apatah lagi,” ujar Ayda yang memaklumkan kejadian seperti itu menjadi punca dirinya khuatir untuk membawa Nayla ke hospital.
Jelasnya ketika menziarahi orang sakit di hospital, kanak-kanak bukan sahaja terdedah dengan penyakit malah ada juga perkara yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar namun dibimbangi boleh menganggu anaknya.
Ayda sebelum ini pernah berkongsi pengalaman anaknya yang berdepan gangguan makhluk halus malah menjerit perkataan ‘hantu’ ketika di dalam bilik air selain mengadu melihat kelibat misteri ketika menginap di sebuah hotel.
“Kadang-kadang takut nak bawa dia melawat orang sakit di hospital. Walaupun saya sendiri yang masuk hospital, memang tak benar dia datang. Jadi kawan atau saudara yang masuk hospital, jangan soal, ‘Tak bawa anak ke?’.
“Maaf cakap, ini adalah hospital. Banyak benda yang kita tak nampak. Selain hantu, ada banyak penyakit juga.” Jelasnya dalam hantaran itu sebelum dinasihatkan orang ramai untuk merawat anaknya dengan ‘menutup hijab’.
Baca juga: Masuk umur 35 tahun ini sepatutnya jumlah wang persaraan yang anda patut ada