Azmin diingat tidak khianati prinsip Anwar, seret Chegubard ke mahkamah

Oleh BORHAN AHMAD

Pergolakan yang berlaku di dalam PKR nampaknya semakin hangat apabila seorang Exco Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Angkatan Muda KeADILan (AMK) mendesak agar pertembungan antara Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Mohd Azmin Ali dan bekas Ketua Cabang Rembau, Chegubard atau Badrul Hisham Shaharin ditamatkan segera.

Menurut Halimah Nasoha, pertelingkahan antara dua pemimpin parti itu menggusarkan ramai anggota parti kerana memberikan imej buruk bukan sahaja kepada pentadbiran kerajaan negeri Selangor tetapi kepada parti keseluruhannya.

“Presiden atau Pengerusi Disiplin parti harus bertindak segera memanggil kedua dua watak ini bagi diberi ruang memberikan penjelasan dan hujah masing-masing dan dicari jalan penyelesaian.

“Jika dakwaan Chegubard dia telah menulis aduan kepada parti benar maka ia satu tidak wajar berlaku. kenapa aduan beliau dibakulsampahkan?” soal beliau.

Menurut Nasoha, Azmin harus lebih tenang bukan melakukan penafian di hadapan media dengan serangan perkataan kasar kepada pengkritik.

Cabaran membuat laporan SPRM, katanya nampak sangat lucu apabila disedari ia bukan bidang kuasa SPRM malah ia berkaitan janji ketelusan yang diperjuangkan PKR.

“Isunya mudah dan ringkas Azmin kata ada tender terbuka dalam pemberian kawasan balak kepada dua syarikat yang dimaksudkan. Chegubard sebut dia ada bukti yang tiada tender terbuka cuma buktinya kertas MMKN yang tertaluk dalam akta rahsia rasmi kerajaan.

“Pilihan yang ada dalam isu ini parti panggil keduanya dan adakan siasatan dan perbicaraan dalaman atau Azmin bawa Chegubard ke mahkamah kerana menfitnah dan biar Chegubard dedah dokumen rahsia itu di dalam mahkamah jika benar.

“Ini perlu ditangani dengan hati-hati kerana kita tidak mahu terlihat sama seperti Umno-BN sama ada dari aspek tidak mendengar rungutan dan kritikan atau dari hal menghukum pengkritik,” ujarnya.

Tambah Halimah, bertolak dari isu zakat, DEIG, gerbang dan kini balak, kelihatan pertembungan Chegubard dan Azmin mampu memberi kesan besar kepada parti jika tidak ditangani segera.

Beliau menegaskan bahawa isu yang timbul daripada pertelingkahan dua pemimpin itu bukan persoalan politik atau perbezaan pendapat dalam parti tetapi soal reformasi dalam kaedah tataurus atau pengurusan kerajaan negeri.

Persoalan tuntutan reformasi, kata Halimah bukan sekadar merubah kerajaan tetapi kaedah pengurusan yang lebih telus, efisien dan bertanggungjawab kepada rakyat yang telah memberikan amanah dan pengharapan kepada PKR dalam melaksanakan agenda reformasi secara menyeluruh.

“Kaedah reformasi dalam pentadbiran dan pengurusan kerajaan negeri di bawah Keadilan/Pakatan Harapan sepertimana yang digagaskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tentang prinsip-prinsip dasar ke arah ketelusan, pertanggungjawaban dan keberkesanan (efficiency) dalam memenuhi tuntutan amanah rakyat yang inginkan perubahan.

“Jangan khianat prinsip ini, walaupun Anwar terpaksa merengkok di penjara bagi mempertahankan prinsip-prinsip reformasi.

“Umum sedang perhatikan kita, bersediakan parti menangani isu ini secara progresif atau beranikah Azmin seret Chegubard ke mahkamah?” soal beliau.