Jarak beribu batu tidak menghalang Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk bersolidariti bersama rakyat di Himpunan 365 #BebaskanAnwar melalui lintas langsung dari Masjidil Haram malam tadi.
Beliau melahirkan rasa bersyukur kerana diberi kesempatan berucap dan mendoakan supaya Anwar dibebaskan dari penjara.
“Saya mohon maaf kerana tidak dapat hadir sebab saya sedang mengerjakan Umrah ketika ini.
“Saya juga bersyukur diberi kesempatan mendoakan kebebasan dan kesejahteraan Datuk Seri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah dan keluarganya semoga mereka sentiasa dalam lindungan Allah,” kata Mohamed Azmin.
Mohamed Azmin turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melupakan pengorbanan Anwar tidak kira berada di mana sama ada di dalam mahupun di luar negara.
“Marilah kita sama-sama memperbaharui ikrar kita untuk sama-sama menjulang obor perjuangan membebaskan Datuk Seri Anwar dari penjara dan membebaskan negara dari cengkaman pemerintah zalim,” kata Mohamed Azmin dalam lintas langsung video berdurasi kira-kira lima minit itu.
Mohamed Azmin dan isterinya, Datin Seri Shamshida Taharin kini berada di Mekah sejak minggu lalu bagi menunaikan ibadah Umrah.