Meskipun sudah bertudung, kebanyakan projek seperti drama mahupun filem yang dilakukan pelakon sebelum berhijab akan tetap ditayangkan.
Buat pelakon Isyariana yang baru sahaja mula bertudung Ramadan lalu, dia mengakui tidak takut akan kecaman netizen meskipun penampilannya sudah berubah.
Membawa watak yang menjadi mangsa rogol dalam filem ‘Balas Balik’, pelakon berusia 35 tahun itu mengakui lebih takut dengan hukuman Allah SWT lapor Kosmo! Online.
“Saya tak takut netizen (kecaman) tapi lebih takut dengan Allah. Setakat ini saya tak kisah sangat dengan penerimaan netizen sebab saya cuma jalankan tanggungjawab yang sudah diterima.
“Biarkan apa orang nak cakap. Itu hanya sekadar watak, bukan diri saya yang sebenar. Semua babak rogol itu memang sudah ada dalam skrip.
“Dalam babak tersebut saya hanya memakai baju jenis kemban dan menampakkan sedikit bahagian bahu sahaja.
“Tapi sekarang sudah berhijrah tiada lagi watak begitu,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Dalam masa sama, Isyariana berharap dia akan kekal istiqamah dalam menutup aurat selepas membuat keputusan bertudung atas tuntutan agama.
“Doakan saya terus istiqamah sebab memakai tudung ini dilakukan bukan sebab siapa pun termasuk ibu atau diri sendiri sebaliknya kerana Tuhan.
“Cuma jangan harapkan kesempurnaan daripada saya tetapi fokus pada dalaman. Bersihkan jiwa termasuk tidak melayan media sosial sangat, lebih fokus kepada diri sendiri seperti solat tahajud.
“Janganlah harap saya sudah menutup aurat tetapi tidak melakukan kesilapan langsung,” kongsinya.
Baca juga: Atikah Suhaime risau ‘benda lain’ gendong anak, dedah suami diganggu ketika bercuti