Orang awam boleh mengkritik penghakiman oleh mahkamah tetapi terlebih dahulu mereka perlu membaca penghakiman tersebut, kata Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.
Beliau berkata mahkamah menerima malah mengalu-alukan kritikan sebagai sebahagian daripada akauntabiliti badan kehakiman.
Bagaimanapun, beliau menegaskan rakyat tidak perlu melontarkan kecaman dengan melabelkan hakim dengan nama-nama yang tidak sepatutnya dan membuat pelbagai dakwaan.
Katanya membenarkan orang awam meneliti penghakiman mereka dan memaklumkan kepada mereka di mana silapnya merupakan suatu budaya yang baik.
Bercakap pada sidang media selepas melancarkan Tahun Perundangan 2016 hari ini, Ketua Hakim Negara berkata: “Mengkritik badan kehakiman adalah sebahagian daripada tradisi undang-undang lazim kita dan tiada siapa pernah ditangkap atau didakwa dengan itu.”
Arifin berkata banyak orang mengkritik penghakiman mahkamah sebelum membaca alasan penghakiman berkenaan dan ada juga mereka yang mula membidas sebelum keputusan dikeluarkan.
“Mereka menyerang hakim dan tidak memberi alasan. Mereka memanggil hakim dengan nama-nama seperti bodoh…berat sebelah…”, katanya.
Mengenai cadangan oleh seorang hakim Mahkamah Rayuan bahawa sebuah mahkamah khas ditubuhkan bagi menangani isu pertikaian agama antara orang Islam dan bukan Islam, Arifin berkata:
“Ia bukan untuk Hamid Sultan Abu Backer (hakim yang membuat cadangan itu) atau mana-mana hakim termasuk Ketua Hakim Negara untuk membuat cadangan itu kerana ia adalah soal dasar yang perlu diputuskan oleh badan eksekutif. Itulah apa yang kita panggil pengasingan kuasa.”
Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata keputusan mahkamah tidak sentiasa disukai oleh semua pihak sama ada individu, kumpulan politik, masyarakat sivil atau kerajaan namun ia bukan peranan mahkamah untuk membuat keputusan popular.
Beliau berkata fungsi mahkamah adalah untuk mengadili pertikaian mengikut semangat dan undang-undang.
“Ia adalah sama penting untuk menekankan bahawa dalam kes-kes kepentingan awam, kedaulatan undang-undang dengan tegas dipatuhi,”katanya.
Arifin berkata kebanyakan kes didengar untuk tempoh beberapa hari dan semua pihak diberi peluang sepenuhnya untuk menyampaikan penghujahan masing-masing secara menyeluruh.
Beliau berkata akses kepada keadilan dipastikan kerana semua pihak diwakili oleh peguam pilihan masing-masing dan kes-kes ini telah didengar mengikut prosedur undang-undang di mahkamah terbuka.
“Keputusan dengan alasan telah diserahkan dalam masa yang munasabah. Pendek kata, ada kepatuhan yang ikhlas kepada kedaulatan undang-undang,”katanya.