Bagai ‘spiderman’, anak murid panjat cikgu yang sedang mengajar minta didukung

Oleh KIM SYAZIE

Gelagat seorang anak kecil yang ‘memanjat’ badan seorang lelaki telah menjadi perbincangan hangat di media sosial baru-baru ini.

Begitu manja, lelaki itu bukanlah bapa kandung kepada anak kecil berkenaan, tetapi seorang guru yang sedang mengajar di prasekolah.

Menerusi video yang dimuat turun di akaun TikTok, kanak-kanak itu dilihat enggan turun daripada dukungan gurunya.

Tidak terkesan, guru yang dikenali sebagai @cikgu.papazola di laman TikTok itu tetap meneruskan sesi pengajarannya.

Melayan pelajar bagai anak sendiri, kejadian itu difahamkan berlaku pada hari ketiga sejak sesi persekolahan bermula.

“Belum biasa dengan kawan-kawan baharu, jadi perasaan takut itu mungkin ada. Bukan hari pertama saja, tapi berhari-hari.

“Apabila dia sudah diam selepas dipujuk, ada pula kawannya yang menangis. Jadi macam bergilir kena dukung untuk memujuk,” katanya.

Alah bisa, tegal biasa, guru itu sudah biasa menahan lenguh dan mengajar sambil mendukung anak didiknya.

Menurut guru tersebut, tenaga pengajar tidak boleh menggunakan kekerasan dalam mendidik murid khususnya pelajar prasekolah.

Melakukan pekerjaan yang mulia, diharapkan urusan guru tersebut sentiasa dipermudahkan dalam mendidik anak bangsa.

Baca juga: Kecoh satu dorm lelaki perang dengan seekor tikus, “aku konfius ni bilik lelaki ke perempuan?” – netizen