Bagaimana calon PM boleh dipilih dari legasi Kabinet gagal? soal Mahfuz

Oleh KIM SYAZIE

Umno dilihat seperti tiada calon yang lebih baik untuk dijadikan perdana menteri sehingga terpaksa menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sebelum ini menjadi Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang gagal.

Naib Presiden AMANAH Datuk Seri Mahfuz Omar berkata, kegagalan kerajaan menguruskan pandemik Covid-19 dan kegawatan ekonomi bukan disebabkan kelemahan perdana menteri seorang, tetapi turut melibatkan seluruh anggota Kabinet kerajaan waktu itu.

Justeru katanya, beliau tidak dapat memahami bagaimana individu dari legasi yang telah gagal boleh dinamakan semula untuk memimpin negara.

“Ini merupakan kegagalan bersama. Kerajaan gagal ini bukan dicipta Pakatan Harapan atau pembangkang, tapi tanda pagar itu disuarakan rakyat. Mereka melihat bahawa kegagalan ini bukan dari seorang perdana menteri, tetapi seluruh kerajaan yang memang tiada kemampuan tangani Covid-19.

“Tiba-tiba individu daripada legasi kegagalan itu nak meneruskan kepimpinan sebagai perdana menteri. Saya tak boleh fikir.

“Saya tak tahulah kalau orang boleh fikir legasi kegagalan ini boleh membawa kepada kejayaan. Kalau boleh, sudah tentu bila dia bersama PM sebelum ini boleh membawa satu pencerahan idea yang mampu bawa kita keluar dari pandemik ini,” katanya dalam satu siaran langsung di Facebook Jom Channel malam tadi.

Pada masa sama Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, Umno tidak boleh hanya meletakkan beban kegagalan kerajaan di bahu Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.

Ini kerana katanya, kegagalan kerajaan itu sendiri disebabkan polemik politik yang ditimbulkan Umno dengan ugutan menarik sokongan dari PN.

“Satu perkara sangat janggal. Ini menunjukkan Umno calonkan Ismail kerana dah tak ada orang lain. Terpaksa calonkan seorang yang gagal untuk jadi perdana menteri. Satu benda pelik,” ujarnya lagi.