Hampir seminggu semua menunggu kenyataan dua pelakon yang ditahan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) minggu lepas.
Akhirnya pelakon Aliff Aziz tampil mendakwa dirinya khilaf kerana masuk ke rumah Ruhainies sambil menunggu ketibaan adik beradik pelakon wanita tersebut untuk makan malam bersama.
Niat hanya nak makan malam
Menurut kenyataan di Instagram, Aliff mengakui hanya membantu Ruhainies untuk mambawa barangan digunakan semasa penggambaran
“Pada awal kejadian kami baru selesai penggambaran. Dalam perjalanan pulang kami berkonvoi dengan PA (pembantu peribadi) Ruhainies.
“Ruhainies ada maklumkan malam itu adik-beradiknya merancang makan-makan di rumah, jadi memandangkan ada adik-beradik lain tiada masalah saya turut serta dan saya juga memang kenal dan berkawan dengan kakaknya, Risteena.
“Semasa sampai di kondominium, saya bantu bawa barang ‘shooting’ miliknya ke atas sementara tunggu kakaknya yang masih dalam perjalanan, cara betul adalah kita sepatutnya tunggu di lobi,” katanya dalam satu kenyataan di Instagram.
Terkejut dengar ketukan pintu dan suara lelaki
Tambahnya dia sedar pintu diketuk semasa sedang bersembang namun tidak membukanya atas faktor keselamatan selepas terdengar suara lelaki.
Malah kakak kepada pelakon, Risteena turut menasihat kedua-dua mereka untuk tidak membuka pintu selagi mereka tidak sampai.
Mereka akhirnya membuka pintu selepas adik-beradik Ruhainies sampai dan Risteena turut berbincang dengan penguatkuasa sebelum membukanya.
“Ruhainies yang pada awalnya menyangka kakaknya telah sampai terdengar suara lelaki berbual di luar pintu dan selepas hubungi Risteena dia dinasihatkan jangan buka pintu sehingga dia sampai.
“Apabila adik-beradiknya tiba sudah ada penguatkuasa Jawi di depan pintu,” ujarnya.
Pada masa sama Aliff memuat naik kenyataan tersebut agar tiada salah faham dan memohon maaf kerana mencalar nama sendiri dan keluarga.
Susulan tangkap khalwat pasangan terbabit, isteri Aliff, Bella memfailkan permohonan perceraian di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Baca juga: “Boleh pula ambil tempias marketing”, Starvendors jadi sasaran boikot gara-gara Ruhainies?