Bukan sahaja berhadapan iklim ekonomi yang suram, tahun 2016 bakal menyaksikan lebih banyak projek negara terlepas ketangan pihak asing gara-gara masalah kewangan yang dihadapi syarikat pelaburan kedua negara, 1MDB.
Menurut Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, perjanjian jual beli di antara 1MDB dengan konsortium membabitkan Iskandar Waterfront Holding Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (CREC) bagi pegangan 60% di dalam pembangunan Bandar Malaysia mengesahkan kebimbangan bahawa lebih banyak aset strategik dan projek negara dimiliki syarikat asing terutama dari China.
Semuanya ini berpunca akibat kemelut kewangan 1MDB.
Sebelum ini, tambah beliau, 1MDB telah menjual aset penjanaan elektrik kepada syarikat milik kerajaan China walaupun ia bertentangan dengan dasar dan peraturan umum kerajaan Malaysia yang tidak membenarkan aset elektrik dikuasai syarikat asing.
“Dengan perjanjian hari ini (31 Disember 2015), CREC akan mempunyai 40% dari 60% pegangan di dalam Bandar Malaysia (pegangan 24% di dalam keseluruhan projek) iaitu satu bidang hartanah yang cukup bernilai dan strategik,” ujar Rafizi dalam satu kenyataan media.
Bandar Malaysia kini sedang dibangunkan sebagai pusat pengangkutan utama negara yang baru dengan memusatkan keretapi laju Kuala Lumpur – Singapura (HSR), sistem MRT2 dan MRT3 di situ selain dari pembangunan hartanah.
Menurut Rafizi, walaupun pentadbiran Dato’ Seri Najib Razak akan memberi alasan bahawa pegangan 24% dari keseluruhan projek yang kini dimiliki oleh syarikat China itu adalah kecil, beliau yakin pegangan itu akan memberi kelebihan kepada CREC untuk membida dan memenangi projek yang lebih besar yang berkait rapat dengan Bandar Malaysia iaitu pembinaan sistem keretapi laju Kuala Lumpur –Singapura yang dijangka menelan belanja USD11 bilion (RM47 bilion).
“Oleh sebab itu, saya mengajak rakyat Malaysia menghayati bagaimana kebelakangan ini ada kecenderungan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk menjual atau menganugerahkan bidaan kepada syarikat-syarikat yang berkait dengan kerajaan China termasuklah penjualan Edra Energy dan hari ini pegangan di dalam Bandar Malaysia.
“Saya berani meneka bahawa pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak juga sedang berkira-kira untuk menganugerahkan projek sistem keretapi laju Kuala Lumpur – Singapura yang berharga RM47 bilion itu juga kepada syarikat-syarikat berkait dengan kerajaan China.
“Jika ini berlaku, Malaysia akan memasuki era baru yang lebih sulit apabila banyak kepentingan negara berhubung kait dengan pemilikan oleh syarikat-syarikat kerajaan China yang sudah tentu merumitkan pendirian negara dalam isu-isu serantau seperti tuntutan bertindih ke atas Kepulauan Spratly,” jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan.
Perjanjian ini, kata Setiausaha Agung PKR itu hanya mengesahkan amaran beliau bahawa kemelut kewangan 1MDB akan mengheret negara sehingga banyak aset-aset penting negara akan dijual demi untuk menimbus hutang besar 1MDB.