Baikpulih kubah masjid RM32.4 juta Selangor meneruskan pembaziran, kata Chegubard

Oleh MALAYSIADATELINE

Chegubard mengatakan banyak keperluan lain dalam negeri ini harus diutamakan terlebih dahulu oleh kerajaan negeri.Belum pun habis rakyat kecewa dengan pembaziran projek ‘facelift’ (ubah suai ringan) pintu gerbang dengan nilai RM9.8juta kini muncul pula projek ganti kubah masjid negeri dengan nilai RM32.4juta yang tercatat dalam perbelanjaan pelik kerajaan Selangor, kata ahli seumur hidup PKR, Badrul Hisham Shaharin.

Menurut beliau yang juga dikenali dengan panggilan Chegubard, perbelanjaan melampau untuk hanya projek ‘facelift’ atau ubahsuai ringan Gerbang Darul Ehsan terlepas dari pertikaian dewan begitu sahaja sehingga ia membazirkan wang rakyat RM9.8j.

Terbaru ialah hujung Mac atau awal April nanti akan dimulakan projek menggantikan kubah masjid negeri dengan nilai RM32.4 juta.

“Saya pertegaskan ia satu pembaziran dan bukan keperluan mendesak untuk mengeluarkan perbelanjaan setinggi nilai tersebut dalam keadaan gawat sebegini.

“Adakah nanti projek ini juga setelah ramai pertikaikan akan turut ditutup dengan kononya sudah ada penderma ? atau sebut sahaja ia kehendak Istana dan tidak boleh dielakkan ? atau Azmin yang menjadi sekutu kepada Pas yang kini cenderung kepada Umno akan mengalihkan isu – mempertikai pembaziran kubah ini umpama pertikai insitusi Islam di Selangor.

“Ia pembaziran, ingatlah kubah membazir bernilai RM32.4 juta itu bukan ajaran dan keperluan Islam pun.

“Banyak keperluan lain dalam negeri ini harus diutamakan. Jika benar prihatin dengan pembinaan modal insan atau pendidikan seperti yang ditekankan oleh Islam maka bayangkan jika nilai wang RM32.4j itu diberikan kepada isntitut pendidikan bawah kawalan kerajaan negeri seperti UNISEL maka tidak mustahil pendidikan percuma pun mampu terlaksana.

“Jika diberikan kepada anak – anak muda untuk dilatih dan dimodalkan mereka memulakan perniagaan berapa ratus ribu usahawan muda mampu dihasilkan?” soalnya seperti dipetik daripada facebooknya.

Beliau menegaskan berapa banyak jalan rosak di Selangor jika wang ini digunakan untuk membaiki jalanraya betapa kehidupan pengundi akan meningkat malah kemalangan boleh dielakkan.

“Saya sebut tanpa berselindung keegoaan kerajaan Selangor meneruskan siri pembaziran ini akan mengundang kebencian rakyat.

“Tidak ada bezanya kamu dengan Umno-BN dalam perkara ini. Ingat kita pernah mengkritik Mahathir kerana membina kediaman rasmi Perdana Menteri dengan nilai RM200juta ketika negara dalam keadaan gawat dan rakyat susah.

“Kini apa bezanya kita apabila berkuasa kita meluluskan perbelanjaan RM9.8juta untuk ubah suai kecil pintu gerbang, RM32.4 juta untuk ganti kubah masjid dalam keadaan jika ia disalurkan kepada yang lebih memerlukan maka lebih ramai akan naik taraf kehidupanya.” ujar beliau.