Tidak ramai yang sanggup mengangkat sendiri simen, menyusun batu bata dan mengacu besi untuk membina rumah sendiri. Namun bagi seorang ibu tunggal dari Pahang, cabaran itu diterima dengan hati terbuka demi sebuah impian.
Auni Hazwani Faizun, 33, memilih untuk tidak bergantung kepada sesiapa apabila menyedari kos upah tukang terlalu tinggi untuk ditanggung.
Menurut Sinar Harian, Auni membina sendiri rumah idamannya sedikit demi sedikit tanpa sebarang latar belakang dalam dunia binaan.
Apa yang lebih mengagumkan, segala ilmu pertukangan dan pembinaan dipelajarinya hanya melalui internet, khususnya video-video di YouTube.
“Impian ini sudah lama sebenarnya tapi bila kira bajet untuk upah tukang, memang tak mampu. Jadi saya nekad bina sendiri sedikit demi sedikit
“Tempat saya belajar? ‘University of YouTube’,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Difahamkan, minat terhadap kerja tangan dan seni bina bermula apabila dia mula tertarik dengan konsep ‘tiny house’ yang sering ditonton di kaca televisyen.
Sejak itu, Auni menanam cita-cita untuk memiliki rumah sendiri meskipun terpaksa bermula dari sifar.
Bukan sekadar minat, Auni membuktikan kesungguhan apabila melakukan sendiri kerja berat termasuk membancuh simen, membentuk struktur konkrit dan membina bahagian utama rumah, semuanya dilakukan secara manual tanpa sebarang mesin seperti concrete mixer.
“Masa mula-mula dulu tak ada alat khas macam ‘concrete mixer’. Semua kena bancuh simen secara manual. Nak siapkan ‘ground beam’, slab lantai, lintel, semua kena buat sendiri. Memang penat, tapi saya hadap sahaja.
“Ada terlintas rasa putus asa, penat sangat tapi saya rehat, tarik nafas, bangun semula dan teruskan. Sudah mula, takkan nak berhenti, kan?.
“Dalam proses merealisasikan impian luar biasa ini, saya tidak terlepas daripada pandangan skeptikal. Orang pernah ragui kemampuan saya tapi saya jadikan semua itu angin lalu. Sebab kalau saya mahukan sesuatu, saya tak peduli apa orang kata,” katanya lagi seperti dilapor.
Lebih membanggakan, selepas hampir dua tahun setengah bertungkus-lumus, rumah yang dibinanya kini telah siap kira-kira 70 peratus jauh lebih awal daripada sasaran lima tahun yang ditetapkannya sendiri.
Baca juga: Bekas menantu Ismail Sabri, Jovian Mandagie diisytihar muflis