Banjir: KTMB batal beberapa perkhidmatan tren ke Pantai Timur, ini laluan yang terlibat

Oleh WAN SITI AMINAH

Situasi banjir yang semakin memburuk di Pantai Timur telah menjejaskan operasi tren sehingga Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) terpaksa membatalkan 12 laluan perkhidmatan ke negeri terlibat.

Menerusi kenyataan dikongsikan di platform Facebook, KTMB memaklumkan pembatalan itu melibatkan laluan JB Sentral-Tumpat, Tumpat-JB Sentral, Gemas-K. Lipis, K. Lipis-Gemas, Tumpat-K. Lipis dan K. Lipis-Tumpat (bermula di Gua Musang).

Selain itu laluan Gua Musang-Tumpat (tamat di Dabong), Tumpat-Gua Musang, Tumpat-Dabong, Tumpat-Gua Musang dan K. Lipis-Tumpat (ditamatkan di Gua Musang) turut terlibat dalam pembatalan itu.

Oleh kerana laluan tren yang tersenarai telah dibatalkan berikutan banjir, pelanggan layak untuk mendapatkan pemulangan wang tambang penuh melalui akaun KTM Wallet.

Semakan boleh dibuat pada bahagian ‘Upcoming Ticket’ dalam KTM Wallet dan pelanggan perlu memastikan tiket telah berstatus ‘grant’ 100 peratus sebelum membuat pembatalan.

Difahamkan, pembatalan hanya berlaku pada perjalanan bertarikh 29 November 2024 (Jumaat) di mana pelanggan yang menempah tiket pada tarikh berikutnya disarankan untuk tidak melakukan pembatalan terlebih dahulu.

Pelanggan bagaimanapun dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat terkini melalui laman Facebook KTMB atau menghubungi mereka secara terus untuk sebarang semakan lanjut.

Sementara itu, situasi banjir di seluruh negara dilaporkan semakin memburuk hingga awal pagi ini di mana jumlah keseluruhan mangsa terkini telah mencecah 73,390 orang dari 22,699 keluarga di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Perak dan Selangor.

Sebanyak 493 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka untuk menampung mangsa banjir yang terjejas di seluruh negara.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kelantan menjadi negeri yang paling teruk terjejas dengan mencatatkan sejumlah 59,187 mangsa dari 18,457 keluarga terlibat dan ditempatkan di 221 PPS.

Antara daerah yang teruk terjejas di negeri itu adalah Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah, Kuala Krai, Bachok, Pasir Puteh, Kota Bharu, Machang, Jeli dan tidak terkecuali, Gua Musang.

Manakala mangsa di negeri Terengganu pula mencatatkan sejumlah 11,727 orang daripada 3,415 keluarga terlibat yang kini telah ditempatkan di 233 PPS.

Sementara di Kedah pula, sejumlah 1,920 mangsa melibatkan 661 keluarga dari lima daerah terjejas iaitu Kubang Pasu, Sik, Pokok Sena, Padang Terap dan Kota Setar ditempatkan di 30 PPS.

Negeri Sembilan pula mencatatkan 150 mangsa dari 43 keluarga terlibat yang kini ditempatkan di sebuah PPS di Kuala Pilah dan Perak pula mencatatkan 69 mangsa daripada 22 keluarga di daerah Batang Padang serta Kerian (2 PPS).

Selangor juga kini dilanda banjir melibatkan seramai 21 mangsa daripada lima keluarga yang ditempatkan di dua PPS di daerah Klang.

Baca juga: Lelaki Melayu ini sanggup tinggalkan gaji RM20k demi jadi ‘ghost seeker’