Kerajaan Selangor hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi membantu meringankan beban mangsa banjir yang terjejas di Kelantan dan Terengganu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setiap negeri akan menerima bantuan kewangan berjumlah RM500,000.
“Selangor bersimpati dengan nasib yang menimpa rakyat di negeri-negeri yang dilanda musibah banjir. Setakat 8 pagi hari ini, angka NADMA menunjukkan seramai 25,353 orang di Kelantan dan 37,021 orang di Terengganu telah menjadi mangsa musibah ini.
“Bagi meringankan beban atas musibah yang melanda, Kerajaan Negeri bersedia menghulurkan Sumbangan Bantuan Banjir #KitaSelangor 2022 berupa bantuan kewangan buat Kelantan dan Terengganu yang berhadapan musibah banjir dengan sejumlah RM500,000 setiap negeri.
“Kerajaan Negeri melalui Skuad PANTAS serta SERVE bersedia berkhidmat untuk sebarang bentuk bantuan kemanusiaan pasca banjir sebaik sahaja keadaan mengizinkan kelak,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, acara Sambutan Ambang Tahun Baru peringkat Negeri Selangor turut dibatalkan demi menghormati mangsa dan keluarga yang terkesan dengan musibah banjir dan tragedi tanah runtuh Batang Kali.
Di Terengganu, angka mangsa banjir terus melonjak kepada 37,792 membabitkan 10,401 keluarga berbanding 26,494 orang daripada 7,369 keluarga, malam tadi, dan semua mereka ditempatkan di 310 PSS yang beroperasi di semua lapan daerah.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Kemaman menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 12,000; diikuti Besut (8,228); Hulu Terengganu (6,691); Setiu (3,988); Dungun (2,484); Kuala Nerus (1,521); Kuala Terengganu (1,900) manakala Marang (980).
Di Kelantan pula, Portal Rasmi eBanjir negeri https://ebanjir.kelantan.gov.my/ memaklumkan, mangsa banjir meningkat kepada 17,326 orang daripada 4,793 keluarga pagi ini, berbanding 14,359 orang daripada 3,942 keluarga malam tadi.
Sebanyak 106 PPS dibuka melibatkan sembilan jajahan iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Bachok, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang dan Jeli.
Baca juga: ‘Rupanya ‘website’ entah apa-apa’- Fahmi bidas dakwaan Hamzah berkaitan laporan media antarabangsa