Bantah konsesi SUKE tutup jalan masuk ke Pekan Sungai Besi

Oleh ARIF ATAN

Penutupan jalan keluar dan masuk ke Pekan Sungai Besi oleh pihak Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd iaitu syarikat konsesi bagi pembinaan Lebuh raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) telah menjejaskan aktiviti penduduk dan peniaga setempat.

Ketua AMANAH Bandar Tun Razak, Ir Hayatul Kamil Termudi (tengah) berkata, penutupan jalan tersebut menyukarkan pergerakan peniaga di pasar dan kedai, pengunjung serta jemaah masjid Ibn Khaldun yang sebelum ini lama terhenti akibat pandemik Covid-19.

“Penduduk dari Pangsapuri Permai Sungai Besi, Kampung Malaysia dan pengguna kenderaan dari arah Serdang menghadapi kesukaran untuk masuk ke Pekan Sungai Besi.

“Mereka terpaksa menempuh jalan yang jauh, pergi ke Bandar Tun Razak kemudian patah balik ke sini lebih kurang tiga kilometer.

“Keadaan bertambah buruk pada waktu puncak menyebabkan terpaksa mengambil masa perjalanan yang sangat panjang.

“Jalan MRR2 ( Lebuhraya Lingkaran Tengah 2) sejak dulu sentiasa sesak. Sekarang dengan adanya projek ini (SUKE) bertambah sesak,” katanya dalam sidang media di seberang Stesen MRT Sungai Besi sebentar tadi.

Beliau menegaskan pembinaan lebuhraya SUKE menunjukkan rekod yang buruk kerana beberapa kemalangan yang menyebabkan kematian berlaku sebelum ini.

“Dan kali ini Pelan Pengurusan Trafik tidak mengambil kira kesannya kepada warga sekitar apabila menutup jalan keluar/masuk penting ke pekan Sungai Besi,” ujarnya.

Sementara itu, seorang wakil peniaga menyeru kerajaan meneliti kembali polisi projek pembangunan sama ada memberi kebaikan kepada rakyat setempat atau hanya keuntungan syarikat sahaja.

“Sewa kedai tidak diturunkan, tahun ini ramai peniaga dalam Pekan Sungai Besi pindah,” katanya.

Bulan lalu, penutupan jalan dimaklumkan bermula di antara Persimpangan Persiaran Mewah dengan Pekan Sungai Besi bagi pembinaan SUKE dijadualkan akan berlangsung selama enam bulan bermula 24 September hingga 31 Mac tahun depan.

Timbalan Pengurus Besar Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), Dr Ir Zarulazam Eusofe dalam kenyataannya, berkata, penutupan lorong dilaksana bagi memberi laluan kepada pembinaan 11 unit tiang, kerja konkrit dan pemasangan tembok parapet yang akan merentasi MRR2.