Bantah TPPA: Adakah PAS akan sertai dengan adanya Amanah dan DAP?

Oleh MALAYSIADATELINE

 

 

PAS tidak menolak kemungkinan untuk turut sama Pakatan Harapan menyertai dua acara bantahan menolak Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang akan diadakan di Dataran Merdeka dan Parlimen pada hujung Januari ini.

Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan berkata parti itu sejak dari awal komited membantah TPPA.

“PAS akan bersama menyertai Himpunan Aman Bantah TPPA pada 23 Januari ini di Dataran Merdeka.

“Kami juga akan turut membantah dalam sesi perbahasan di sidang parlimen khas pada akhir Januari ini,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Bagaimanapun timbul persoalan kerana Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 8 Januari telah membincangkan isu berkaitan keterlibatan ahli PAS dalam program dan kegiatan parti-parti politik lain khususnya Amanah dan DAP.

Ahli PAS tidak dibenarkan menyertai mana-mana aktiviti dan program anjuran Amanah dan DAP sebagaimana di umumkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan hari ini.

Menjawab persoalan ini, Nasruddin berkata, “ biarlah Setiausaha Agung parti yang perjelaskan hal itu,” ujarnya.

Nasruddin  berkata demikian ketika diminta  mengulas kenyataan Naib Presiden PKR, Tian Chua yang memberitahu Pakatan Harapan telah mencapai kata sepakat untuk menolak TPPA yang akan dibahaskan di Parlimen, hujung bulan ini.

Ketika diminta mengulas lanjut, Tian Chua yang juga Ahli Parlimen Batu berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan PAS agar mengambil keputusan sama. Pertemuan dengan PAS akan diadakan sebelum tarikh Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berkaitan TPPA pada , 26 Januari ini.

“Sebagai pembangkang, kita mahu melihat penyatuan dalam kalangan pembangkang,” kata Tian Chua kepada pemberita ketika ditemui menghadiri Sidang Kemuncak TPPA 2016 semalam.