Banyak komitmen perlu dibayar, Datuk Aliff Syukri sudah mula beniaga seawal 4 pagi

Oleh WAN SITI AMINAH

Kesungguhan usahawan sensasi, Datuk Aliff Syukri dalam mencari rezeki sememangnya tidak dapat disangkal lagi lebih-lebih lagi semenjak menceburi bidang perniagaan di atas talian.

Pelbagai produk baharu diperkenalkan oleh usahawan itu untuk dijual melalui sesi siaran langsung di akaun media sosial miliknya termasuklah beg tangan dengan harga terjangkau.

Usaha ahli perniagaan berusia 38 tahun itu membuatkan peminatnya merasa tidak hairan dengan kemewahannya berikutan otaknya seperti tidak pernah berhenti berfikir mencari cara untuk mendapatkan wang.

“Tahu tak kenapa orang kaya ini semakin kaya? Sebabnya mereka memang memberi seluruh tenaga dalam bekerja. Otak sentiasa berfikir macam mana nak cari duit,” komen pengikut akaun TikTok milik Aliff Syukri.

Komen itu kemudian dibalas oleh Aliff Syukri dengan satu perkongsian rakaman berdurasi 45 saat di platform sama memaparkan dirinya ketika menjual beberapa produk miliknya secara atas talian.

Dalam perkongsian tersebut, usahawan yang lebih mesra disapa oleh pengikutnya sebagai Papa Laris itu mengakui sudah mula berniaga di atas talian sebelum masuk waktu Subuh iaitu pukul 4 pagi.

Aliff Syukri memaklumkan sebagai ketua keluarga, dirinya perlu berusaha untuk menjana pendapatan supaya dapat menunaikan tanggungjawabnya menyara kehidupan selain menanggung komitmen.

@papalarisofficial

Replying to @IKP654 papa start berniaga pukul 4 pagi dek, kau rasa? banyak tanggung jawab kena bayar, terimakasih yang sudah support papa

♬ suara asli – andre – ANDRE

“Papa sudah mula berniaga pada pukul 4 pagi dik, kau rasa? Banyak tanggungjawab dan komitmen kena bayar. Terima kasih kepada yang sudah menyokong (perniagaan) Papa.

“Hidup ini keras, tetapi kita yang kena lembutkan. Kamu semua jangan marah ya, kalau saya kuat meroyan,” kata pemilik nama sebenar Aliff Syukri Kamarzaman itu dalam perkongsian tersebut.

Tinjauan di ruangan komen hantaran video itu mendapati rata-rata pengguna meluahkan kekaguman mereka atas kegigihan anak kepada usahawan kosmetik iaitu Rozita Ibrahim di dalam mencari rezeki.

Beberapa individu pula tampil menegur Aliff Syukri untuk tidak berpenampilan berlawanan jantina meski bertujuan untuk berniaga kerana dalam video itu, usahawan terbabit bersolek dan memakai tudung.

Baca juga: Portal hiburan Korea pun sampai cair dengan kisah cinta Syed Saddiq dan Bella