Bapa tuntut keadilan, anak terkena renjatan elektrik lepas sentuh replika pelita di ‘shopping mall’

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang bapa meluahkan kekesalan apabila pihak bertanggungjawab seakan ‘lepas tangan’ selepas anaknya terkena renjatan elektrik di sebuah pusat beli-belah di Lembah Klang.

Menurut bapa berkenaan, kejadian mencemaskan itu menimpa anaknya pada bulan Ramadan yang lalu ketika ahli keluarganya mengunjungi pusat beli-belah berkenaan.

Ketika kejadian, sang bapa sedang duduk berehat di kerusi sambil memantau anak-anaknya yang sedang bermain berhampiran kawasan dekorasi sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Malang tidak berbau, anaknya yang baru berusia enam tahun bagaimanapun tiba-tiba terkena renjatan elektrik selepas memegang salah satu dekorasi di situ berupa replika lampu pelita.

Kejadian itu dikongsikan menerusi satu hantaran di laman Facebook di mana sang bapa turut mendakwa tiada sebarang notis amaran diletakkan oleh pihak pusat beli-belah di kawasan dekorasi tersebut.

“Waktu Ramadan, kita sedia maklum semua pusat beli belah akan ada dekorasi raya. Ketika kejadian, saya sedang duduk di kerusi sekitar lokasi dekorasi tersebut sambil melihat anak-anak bermain.

“Tempat itu terletak di kawasan umum. Siap ada tempat duduk tetapi tiada papan tanda awas, bahaya atau sebagainya. Namun nasib tak menyebelahi anak saya. Dia terpegang salah satu dekorasi pelita raya tersebut.

“Anak saya terkena renjatan elektrik daripada pelita raya yang dipasang. Selepas itu, saya terus bawa dia ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) sebelum ditahan tiga hari kemudian dipindahkan ke wad biasa selama dua hari,” katanya.

Menerusi satu hantaran di kumpulan Facebook, Peguam dan Pengguna Malaysia (PPM), pengadu berkenaan turut mendakwa anaknya masih mengalami trauma meskipun kejadian itu menimpanya pada Ramadan lalu.

Tujuan hantaran tersebut dimuat naik adalah untuk bertanyakan mengenai tindakan selanjutnya untuk memastikan agar pihak pengurusan pusat beli-belah itu mengambil tanggungjawab.

“Kesan daripada renjatan elektrik itu, anak saya sekarang seperti mengalami trauma. Tidur malam pun kadang-kadang menangis sebab termimpikan kejadian tersebut. Soalan saya, boleh ke nak tuntut ganti rugi daripada pusat beli-belah itu? 

“Saya sudah tanya beberapa kali pada pengurusan pusat beli-belah. Tetapi sampai sekarang, tiada sebarang jawapan. Saya berharap dapat pembelaan sedikit untuk anak.” Adunya.

Seorang peguam kemudian tampil berkongsi tindakan yang boleh diambil pengadu sebelum menuntut keadilan iaitu mencari bukti seperti laporan perubatan, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berserta keterangan saksi.

Pengadu kemudian boleh menghantar notis tuntutan di atas kecuaian pusat beli-belah atau memfailkan saman di mahkamah sivil untuk mendapatkan pampasan dan ganti rugi bagi pihak anaknya.

Baca juga: Tak kisah duit gaji habis asalkan duduk di Sri Hartamas, nampak sikit macam orang berduit