Baru 2 bulan isteri rasa menyesal kahwin, geli tengok suami campak tuala basah atas tilam

Oleh WAN SITI AMINAH

Gara-gara sikap suami yang gemar mencampakkan tuala basah ke atas tilam katil, seorang wanita bergelar isteri menyesali keputusannya untuk berkahwin hanya selepas dua bulan melayari bahtera rumah tangga.

Menerusi satu perkongsian yang tular di platform Threads, wanita itu mengakui merasa terkejut apabila mengetahui sikap sebenar suaminya selepas hidup bersama di dalam satu kediaman.

Bayangkan apabila masuk ke dalam bilik air, wanita itu turut ‘disajikan’ dengan pemandangan yang menurutnya cukup menggelikan di mana kotoran air kencing terpercik di atas tempat duduk atau mangkuk tandas.

Situasi tersebut telah menjejaskan keharmonian rumah tangganya sehingga menyebabkan mereka berdua tidak bertegur kerana wanita itu bimbang sekiranya tidak dapat mengawal kemarahannya.

“Suami saya pengotor. Sebenarnya saya baru berkahwin selama dua bulan. Tetapi sekarang saya rasa menyesal kerana tak sangka dia rupanya pengotor. Tuala badah itu dia campak sahaja ke atas tilam.

“Kencing bersepah bertitis atas tempat duduk tandas dan kahak juga ada dekat singki. Tidak dibersihkan. Saya geli. Faham tak? Kadang-Kadang itu saya juga tak bercakap dengan dia sebab marah sangat,” kata wanita terbabit.

Difahamkan, perkongsian tersebut dibuat kerana si isteri tidak mengetahui kaedah betul untuk menegur suaminya tanpa menimbulkan pergaduhan hingga meminta orang ramai untuk memberikan cadangan bernas kepadanya.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna berpendapat bahawa wanita terbabit seharusnya berani menegur suaminya berikutan tindakan sedemikian bukanlah tanda tidak menghormati.

Beberapa individu juga memberikan pelbagai cadangan untuk memperbaiki tabiat buruk lelaki terbabit sebagai contohnya mengenakan bayaran sebagai denda sekiranya perbuatan berkenaan diulang selepas teguran dibuat.

“Tegur sahaja, kalau bergaduh pun tidak mengapa. Suami saya dahulu suka calik tahi hidung tempat. Memang saya marah sampai cakap dia kena bayar RM50 setiap kali tahi hidung dia dijumpai. Selepas itu tak jumpa benda alah tersebut di mana-mana,” kata seorang pengguna.

“Saya tak faham kenapa isteri zaman sekarang takut tegur suami. Duduk menyorok di belakang akaun tidak dikenali. Benda tak betul kalau patut ubah, beritahu sahajalah. Dia suami kan, bukan warden penjara. Kahwin sebab cinta kan, bukan kena paksa?.” Kesal pengguna lain.

Baca juga: ‘Bukan bersyukur, tapi demand!’ – Netizen selar asnaf minta pampers pants, tak nak jenis tape