Penyanyi dan pengarah, Mawi tidak menyangka filem arahan dan terbitannya, Zim Zim Ala Kazim berhasil mencatat kutipan RM1 Juta dalam masa tiga hari sahaja.
Zim Zim Ala Kazim mengisahkan tentang pendakwah popular, Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias yang pernah terkena penyakit misteri akibat disihir.
Menurut Kosmo! Online, Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, tidak menyangka keputusan untuk menayangkan filem tersebut di pawagam adalah tindakan yang tepat.
“Alhamdulillah, pertama sekali saya sangat bersyukur dengan kejayaan ini. Ternyata sambutan yang diterima sangat baik sehingga meraih kutipan yang tinggi di pawagam.
“Malah, komen-komen yang diberikan oleh mereka yang sudah menonton juga sangat positif.
“Saya rasa ia antara faktor filem ini mendapat sambutan,” ujarnya seperti dipetik Kosmo! Online.
Pada masa sama, Mawi berharap filem tersebut akan mendapat sokongan semua pihak dan mengesyorkan peminat untuk melihat sendiri jalan cerita tersebut.
“Selain mengarah dan berlakon, saya juga bertindak sebagai penerbit dan pastinya harapan saya agar kutipan filem ini terus meningkat.
“Apapun saya tetap berterima kasih kepada semua pihak yang telah menyokong filem ini, kepada yang belum menonton pula cepat-cepatlah ke pawagam,” ujarnya.
Selain Ustaz Kazim sebagai teraju utama, filem berkenaan turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Bell Ngasri, Anas Tahir, Mawi, Elvina Chuah, Zarina Anjoulie dan ramai lagi.
Baca juga: “Saya ada kecemasan, bukan buat show”, Achey jawab tuduhan sombong tak layan peminat bergambar