Baru 6 tahun sudah mampu bertutur 17 bahasa, rupanya ini cara didikan ibu bapanya

Oleh MALAYSIADATELINE

Gelagat seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang bertutur di dalam pelbagai bahasa bersama datuknya telah berjaya mencuri perhatian ramai, baru-baru ini.

Mana tidaknya, kanak-kanak itu bukan sahaja boleh berkomunikasi di dalam bahasa yang dituturkan di Malaysia malah juga di luar negara termasuk Arab dan Sepanyol.

Bapa yang dikenali sebagai M Moganasuntharan berkata anaknya, M Chatriyan kini di dalam proses menguasai 17 bahasa antaranya Melayu, Arab, Inggeris, Indonesia, Jepun, Sepanyol, Urdu, Tamil, Korea dan Rusia.

Menurutnya, Chatriyan telah didedahkan kepada bahan bacaan dan aplikasi mengira dalam pelbagai bahasa sejak kanak-kanak itu berusia dua tahun, lapor Sinar Harian.

Anak sulong daripada dua beradik itu juga tidak gemar bermain seperti kanak-kanak lain seusianya, sebaliknya lebih suka menelaah bahan bacaan dan menulis huruf untuk diingati.

“Sekarang dia ketagih untuk menulis, mengira dan membaca kerana setiap masa di tangannya mesti ada kertas kosong dan juga pensil. Kawan rapatnya adalah buku dan alat tulis.

“Memang tidak galakkan dia bermain permainan video di telefon bimbit sebaliknya kami dedahkan dengan tontonan program pembelajaran seperti ‘Dualinggo ABC’ dan menyertai kuiz yang menguji minda,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Terdahulu, tular satu rakaman berdurasi 3 minit 48 saat memaparkan Chatriyan yang bertutur dan mengira dalam pelbagai bahasa bersama datuknya di aplikasi TikTok.

Mengulas lanjut, Mogan mengakui anak lelakinya itu mempunyai daya ingatan yang tinggi hinggakan dia dan isteri perlu merujuk semula setiap perkataan dan suku kata baharu yang dituturkan.

“Apa yang menakjubkan, setiap perkataan dan ayat yang hendak dibina Chatriyan menepati bahasa sebenar,” ujar lelaki berusia 37 tahun yang bekerja sebagai akauntan itu.

Setakat artikel ini ditulis, rakaman asal yang dikongsikan di laman TikTok itu telah berjaya meraih 292,600 tontonan dan 19,700 tanda suka dari pengguna platform berkenaan.

Baca juga: Pelajar universiti tertekan mak ayah awal-awal rembat duit PTPTN, siap buat ‘loan’ guna nama anak