Baru berkenalan empat bulan dengan ‘kekasih Korea’ wanita rugi RM3.9 juta

Oleh NASUHA RAHMAN

Baru sahaja berkenalan empat bulan yang lalu dengan ‘kekasih dari Korea’ seorang wanita rugi RM3.9 juta milik mendiang suaminya yang disimpan hasil bekerja sebagai ahli perniagaan.

Lelaki mendakwa berasal dari Korea serta bekerja di sebuah pelantar minyak memperdaya mangsa yang berumur 63 tahun.

Mangsa tidak bekerja telah melakukan 184 transaksi kepada kekasihnya sepanjang tempoh berkenaan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily berkata terdahulu, mangsa mengenali suspek yang berusia 40 an menerusi laman sosial Instagram sebelum meneruskan perhubungan menerusi aplikasi WhatsApp.

Baru berkenalan empat bulan dengan 'kekasih Korea' wanita rugi RM3.9 juta
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily

Katanya, lelaki berkenaan mendakwa berasal dari Korea serta bekerja di sebuah pelantar minyak.

“Suspek turut berkongsi videonya ke tempat kerja menyebabkan mangsa tertarik bagi mengenali lelaki berkenaan.

“Suspek kemudian menawarkan kerjasama mangsa dalam sebuah projek dan mendakwa memerlukan sejumlah wang,” katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Shuhaily berkata, terpedaya dengan tawaran itu, mangsa melakukan transaksi pertama pada Disember tahun lalu.

Katanya, setiap transaksi yang dilakukan berjumlah antara RM9,000 hingga RM50,000 menerusi 19 akaun bank tempatan.

Mangsa menyedari tertipu selepas curiga melihat foto suspek ketika melayari Internet sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini, pada 17 Mac lalu.

“Polis menasihati orang ramai supaya tidak mudah terjerat dengan ‘love scam’ yang akhirnya menyebabkan kerugian sejumlah wang,” katanya kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/tanpa-pindaan-di-parlimen-pengumuman-pm-hanya-retorik-di-pau-untuk-sokongan-politik/